Anwar tidak akan bertolak ansur dengan rasuah

Anwar pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan gejala rasuah dan penyelewengan di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

Anwar berkata, beliau akan turut memberi keutamaan dalam aspek tata kelola pentadbiran kerajaan.

“Yang pertama saya tegaskan adalah tata kelola yang baik. Di bawah pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri, saya tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan rasuah dan penyelewengan.

“Ini bermakna tata kelola harus dikemaskini. Tidak hanya kecenderungan untuk mengungkit dan membongkar kisah lama, tetapi mengizinkan kebobrokan baharu.

“Ini disepakati, itu juga syarat kita dalam membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi sidang akhbar pertama sebagai Perdana Menteri di ibu negara.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara sekitar jam 5.06 petang pada Khamis.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendirian untuk memberi sebarang jawatan dalam kabinet kepada individu yang terlibat dalam kes rasuah dan penyelewengan, beliau menegaskan bahawa pendirian mereka tetap jelas.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi sekiranya melibatkan Kerajaan Perpaduan, kita perlu bincang. Yang membezakan adalah apabila hukuman dijatuhkan.

"Bila ada pendakwaan, PH sukar untuk teruskan tetapi bagi ruang untuk kita berbincang kerana saya belum berbincang secara terperinci dengan pihak lain," ujarnya.