PRU15: Individu cetus provokasi berdepan tindakan tegas

Wan Hassan (kiri) dan Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh (kanan) meninjau anggota bertugas sempena PRU15 Parlimen Padang Serai pada Jumaat.
Wan Hassan (kiri) dan Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh (kanan) meninjau anggota bertugas sempena PRU15 Parlimen Padang Serai pada Jumaat.
A
A
A

KULIM - Orang ramai dan parti-parti politik yang bertanding dinasihatkan mematuhi arahan, peraturan dan larangan semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, golongan berkenaan diharapkan memahami sensitiviti setempat dan mengelakkan provokasi.

Wan Hassan berkata, calon atau penceramah yang berkempen boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

"Ia termasuk kesalahan pemalsuan nama atau kertas undi, mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan di bawah Seksyen 3, 4 dan 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

"Kita juga ada pasukan cantas daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan juga bantuan daripada Bukit Aman selain pasukan perakam untuk membuat rakaman tertentu dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau anggota bertugas sempena PRU15 Parlimen Padang Serai pada Jumaat.

Menurutnya, pihak polis memberi amaran kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam proses demokrasi ini sama ada parti dan sebagainya supaya mengawal penceramah agar tidak memberi ceramah yang boleh mendatangkan kegusaran ataupun ketidakpuasan hati pihak lain.

"Kita nak proses pilihan raya ini berjalan dalam keadaan aman, tenteram, damai dan sebagainya. Tiada elemen kutuk mengutuk keji mengeji antara satu sama lain kerana itu tentunya boleh membawa kepada masalah-masalah lain," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Wan Hassan memaklumkan, seramai 500 pegawai dan anggota polis Kedah membabitkan unit Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) ditempatkan sepanjang tempoh PRU15 di Parlimen Padang Serai.

Tambah beliau, mereka ditempatkan di kawasan terbabit bagi mengawal perjalanan sepanjang tempoh kempen dan pengundian awal pada 3 Disember serta pengundian sebenar pada 7 Disember.

"Kita akan tempatkan tiga kumpulan FRU di sini untuk buat kawalan keselamatan bersama dengan anggota lain untuk memantau ceramah dan sebagainya," jelasnya.

Menurut Wan Hassan, jumlah ini termasuklah pasukan cantas daripada IPK, polis bantuan dan lain-lain.

"Untuk hari mengundi, kita jangkakan dalam lingkungan 1,200 orang secara keseluruhan memandangkan saluran mengundi di sini besar dan pengundinya agak ramai dengan kapasiti kaum terbesar iaitu India, Melayu dan Cina melibatkan kira-kira 133,000 orang. Jadi, kita telah minta supaya di sini kita dapatkan lebih kekuatan," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pengundian bagi Parlimen Padang Serai kepada 7 Disember depan selepas calon PKR, M Karupaiya meninggal dunia akibat serangan jantung pada 16 November iaitu tiga hari sebelum PRU15.

Karupaiya yang merupakan penyandang Parlimen Padang Serai menang pada PRU14 dengan majoriti 8,813 undi mengalahkan Dr Leong Yong Kong (MCA) dan Muhammad Sobri Osman (Pas).