Bersih gesa CVC jadi sebahagian konvensyen Parlimen

Bersih gesa CVC diangkat menjadi sebahagian konvensyen parlimen bagi membuktikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto hiasan
Bersih gesa CVC diangkat menjadi sebahagian konvensyen parlimen bagi membuktikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Undi Pengesahan Kepercayaan (CVC) diangkat menjadi sebahagian konvensyen parlimen bagi membuktikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan berkata, ia juga untuk menghilangkan sebarang keraguan terhadap keabsahan dan kekuatan kerajaan sekaligus mengesahkan semula keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagaimana dalam Perkara 43(2)(a).

"Kami memuji pengumuman oleh Anwar bahawa agenda pertama kerajaan apabila Parlimen bersidang pada 19 Disember 2022 adalah pembentangan undi percaya bagi membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.

"Pembentukan kerajaan sangat mustahak untuk hanya dijalankan di bilik tertutup dengan akuan bersumpah yang sangat kabur kepada rakyat," jelasnya pada Jumaat

Semalam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Seri Paduka Baginda di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, pada pukul 5.06 petang.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar parti dan gabungan politik mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengakhiri kemelut pembentukan kerajaan pasca-PRU15, akhirnya hasil rundingan antara parti bersetuju dan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui PH.

Bersih turut menegaskan Anwar akan mendapat sokongan rakan gabungan ketika itu.

"Anwar juga perlu ingat janji beliau untuk mengekalkan pentabiran yang nipis.

Artikel Berkaitan:

"Keperluan politik untuk melantik wakil-wakil daripada pelbagai parti perlu dilaksanakan melalui pembentukan bilangan Jawatankuasa Pilihan yang sama bilangannya dengan jumlah kementerian atau lebih, dengan gaji yang setimpal tetapi tidak ada faedah lain untuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi," ujarnya.

Tambah kenyataan tersebut, pembentukan kerajaan yang tidak lagi didominasi oleh satu atau dua gabungan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menandakan kematangan dalam demokrasi di Malaysia.

"Pengundi boleh memilih pelbagai pilihan dan gabungan pasca pilihan raya berjaya dibentuk secara aman," jelasnya.

Tambah kenyataan tersebut, pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 menoktahkan kebuntuan politik selama lima hari parlimen tergantung selepas PRU15.

"Tahniah kepada Anwar di atas pelantikan beliau itu dan kami mengalu-alukan pembentukan kerajaan campuran yang diketuai oleh PH dengan sokongan Barisan Nasional (BN) serta blok Borneo.

"Selepas ini diharapkan parti-parti politik dapat bersederhana semasa kempen pilihan raya kerana kemungkinan mereka akan menjadi rakan bersama," katanya.