Cabaran lestarikan seni budaya

JKKN aktif anjur program untuk imbangi pengaruh budaya luar

A
A
A

No Image Caption

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) merupakan sebuah agensi yang melaksana dan menyemarakkan aktiviti kebudayaan serta kesenian negara di pelbagai peringkat.

Selaras dengan hasrat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), JKKN turut berfungsi untuk memajukan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan dan kebudayaan sekali gus membina jati diri bangsa berteraskan seni, budaya serta warisan negara.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, agensi berkenaan sentiasa memastikan setiap program yang dilaksanakan bertujuan memperluaskan asuhan serta kemahiran seni budaya khusus untuk pembangunan modal insan.

Selain itu katanya, ia turut bertujuan untuk memperkasakan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan seni budaya; mempertingkatkan kebolehcapaian perkhidmatan kepada komuniti bagi kesejahteraan rakyat; memperkukuh tadbir urus untuk menyemarakkan industri dan memperkukuh jaringan kerjasama kebudayaan bagi kecemerlangan seni budaya.

“Pelaksanaan program dan aktiviti JKKN menyasarkan kepada semua golongan masyarakat tidak kira bangsa, umur dan lokasi.

“Selari dengan visi JKKN sebagai peneraju seni budaya, JKKN sentiasa proaktif dalam memastikan setiap program yang dilaksanakan akan memberi impak positif kepada masyarakat agar seni budaya terus diminati, diamal dan dihargai oleh genersai muda dan generasi akan datang,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Program secara fizikal

Ketika Covid-19 melanda negara, JKKN tidak terkecuali terkesan dengan situasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan.

Mesran berkata, pihaknya terpaksa membatalkan segala program yang telah dirancang awal susulan peraturan berkenaan namun, bertindak melaksanakan aktiviti secara dalam talian.

Untuk memperkasa seni dan budaya, Mesran menegaskan JKKN perlu digalas bersama pihak berkepentingan lain terutama kerajaan.
Untuk memperkasa seni dan budaya, Mesran menegaskan JKKN perlu digalas bersama pihak berkepentingan lain terutama kerajaan.

Beliau mengakui, program yang dianjurkan secara dalam talian tidak memberi impak dan kesan yang sama kepada masyarakat kerana seni serta budaya memerlukan program secara fizikal.

Menjelang 2023, katanya, JKKN berharap akan lebih aktif dalam menjalankan aktiviti dan program bersifat fizikal kerana kebudayaan bersifat sedemikian.

Dalam pada itu, JKKN sentiasa aktif menganjurkan program bersifat seni dan budaya bagi mengimbangi pengaruh budaya luar dan sedia ada di negara ini.

Selain mengelak seni budaya luar terus mempengaruhi masyarakat, JKKN sentiasa memastikan program-program yang dianjurkan selaras dengan kehendak dan tradisi negara.

“Mahu tidak mahu, dunia kini tanpa sempadan, bukan sahaja negara kita (terkesan) malah dihadapi oleh semua negara.

“Limpahan budaya dari negara asing, jika tidak diimbangi (dengan program tempatan) lambat laun seni budaya kita akan hilang. Maka itu yang perlu ditangani oleh JKKN,” katanya.

Ketika dilantik untuk menerajui JKKN pada 6 Disember 2020, Mesran mengakui sukar untuk agensi itu bergerak seoptimum mungkin untuk memperluaskan seni dan budaya ke seluruh negara.

Jelasnya, banyak program yang telah dirancang tidak dapat dilaksanakan ketika pandemik, khususnya mengembangkan seni budaya di seluruh dunia.

“Kami terpaksa mencari jalan untuk memastikan kelangsungan budaya tetap berterusan menerusi program yang telah digarap untuk memastikan masyarakat boleh terima program itu.

“Ini adalah usaha kita untuk memastikan seni dan budaya Malaysia sama kekal dikenali, sama seperti dahulu,” katanya.

Kerjasama semua pihak

Dalam pada itu, Mesran menegaskan, misi dan visi JKKN untuk memperkasa seni dan budaya perlu digalas bersama pihak berkepentingan lain terutama kerajaan.

MESRAN
MESRAN

“Melihat kepada apa yang telah digariskan, JKKN ke arah itu (memperkasa misi dan visi) namun untuk lebih berjaya, kami memerlukan kerjasama semua pihak kerana untuk melestarikan seni budaya, tidak boleh menjadi tanggungjawab JKKN semata-mata.

“Pihak lain juga perlu membantu dalam memastikan seni budaya negara dapat dikekalkan sebab masyarakat kini seolah-olah telah terbahagi kepada dua kelompok iaitu yang suka dengan seni budaya barat dan ada yang suka seni budaya tempatan,” ujarnya.

Dilahirkan di Kampung Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor, dan membesar di Batu Caves, Selangor, Mesran fasih berbahasa Minangkabau dan mempunyai minat terhadap bidang muzik.

Beliau menyambung pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (uitm) yang dulu dikenali sebagai Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam, Selangor dari tahun 1985-1989 dan memegang ijazah Sarjana Muda (Muzik). Beliau juga telah mengikuti pengajian di The Oxford Strategic Leadership Programme di Universiti Of Oxford, United Kingdom pada tahun 2013.

Beliau telah berkhidmat di JKKN sejak tahun 1993 yang dahulu dikenali dengan Bahagian Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia.

Sebelum berkhidmat di JKKN, Mesran juga pernah menerajui Jabatan Warisan Negara sebagai Ketua Pengarah merangkap Pesuruhjaya Warisan.

Walaupun tempoh yang singkat menerajui Jabatan Warisan Negara, kejayaan beliau dalam menjulang negara Malaysia menerusi jabatan tersebut amat dihargainya.

Mesran yang mengetuai delegasi negara ke Persidangan Mesyuarat Sesi Ke-14 Intergovernmental Committee for The Safeguarding of Intangible Cultural Heritage di Bogota, Colombia pada 9-14 Disember 2019 telah berjaya membawa silat disenaraikan di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Mesran yang akan bersara wajib pada awal tahun depan berharap JKKN akan terus melaksanakan pelbagai aktiviti dan program yang merangkumi usaha memelihara, memupuk, membimbing, merakyatkan serta menyemarakkan aktiviti kebudayaan dan kesenian negara di pelbagai peringkat.

“Semoga usaha-usaha pembangunan seni budaya di Malaysia dapat dipertingkatkan demi kelestarian seni budaya dan warisan. Kerjasama padu daripada pelbagai pihak hendaklah amat diperlukan dan sentiasa diteruskan ke arah memacu dan melestarikan seni budaya negara,” ujarnya.