Faizal dakwa kerajaan Anwar tiada keabsahan moral

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa kerajaan baharu di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai keabsahan moral.

Ujarnya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu didakwa tetap dilantik sebagai pemimpin nombor satu negara keraan disebabkan rancangan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang menghadapi tuduhan rasuah, sedangkan gabungan yang diterajuinya hanya mendapat 82 kerusi.

"Anwar menjadi PM bukan dengan sokongan majoriti rakyat tetapi melalui pencaturan politik dengan BN, di mana Anwar berjanji kepada rakyat semasa kempen tidak akan bergabung dengan BN yang terpalit dengan skandal dan rasuah.

"Lain daripada (Pengerusi Perikatan Nasional) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang enggan berurusan dengan Zahid, atau pun menggugurkan tuduhan rasuah terhadap beliau semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan PM," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, pembentukan kerajaan baharu yang meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri juga tidak menggambarkan Kerajaan Perpaduan seperti mana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Kerajaan yang baharu dibentuk dengan Anwar sebagai PM bukan Kerajaan Perpaduan. Ini adalah kerana gabungan politik yang mewakili orang Melayu iaitu PN tidak sebahagian dari kerajaan PH-BN ini yang didominasi DAP, parti terbesar kerajaan baharu dengan 40 kerusi," jelas beliau.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 5 petang Khamis.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Artikel Berkaitan:

Pelantikan tersebut berikutan perkenan Seri Paduka Baginda selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada sebelah pagi, hari sama.

Anwar dipercayai akan menerajui Kerajaan Persekutuan baharu menggabungkan dua parti terbesar iaitu PH dan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti kerusi Parlimen iaitu 112.

Kemelut penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri bermula apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu menyaksikan tidak ada gabungan parti mendapat majoriti mudah.

Pada PRU15, PH memenangi sebanyak 82 kerusi Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (73 kerusi), BN (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (22 kerusi), Gabungan Rakyat Sabah (enam kerusi) dan calon Bebas dua kerusi.