Gempar! Umno Sabah lumpuh

Masidi membaca dengan teliti mesej yang diterima beliau daripada pemimpin Umno Pusat selepasHajiji (tengah) mengumumkan sembilan ahli Dun dan lima anggota Parlimen daripada Umno keluar dari parti itu ketika sidang akhbar hari ini. - Foto Bernama
Masidi membaca dengan teliti mesej yang diterima beliau daripada pemimpin Umno Pusat selepasHajiji (tengah) mengumumkan sembilan ahli Dun dan lima anggota Parlimen daripada Umno keluar dari parti itu ketika sidang akhbar hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Umno Sabah lumpuh selepas hampir kesemua anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri itu termasuk Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti hari ini.

Dalam sidang media di sini, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman, berkata semua ketua bahagian kecuali Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan turut mengumumkan keluar parti.

Tindakan keluar parti yang berkuat kuasa hari ini melibatkan lima anggota Parlimen, sembilan Adun dan dua senator, kata Hajiji yang juga Ketua Umno Tuaran.

Lima agli Parlimen itu ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat), katanya.

Menurut Hajiji selain beliau, lapan lagi ADUN ialah Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jameh(Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas).

Katanya buat masa ini kesemua wakil rakyat terbabit akan menjadi wakil Bebas.

Menurut Hajiji, dua senator Umno yang keluar parti ialah Datuk Ghani Yassin dan Datuk John Ambrose.

Turut mengumumkan keluar parti ialah bekas Bendahari Umno yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang merupakan Ketua Bahagian Kota Belud.

Artikel Berkaitan:

Umno bahagian yang kehilangan ketuanya termasuk yang memangku ialah Kudat, Kota Marudu, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Kimanis (memangku), Beaufort, Sipitang, Keningau, Beluran, Sandakan, Batu Sapi, Silam, Semporna, Tawau, Libaran, Putatan dan Ranau.

Menurut Hajiji baki empat lagi bahagian iaitu Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan belum menyatakan pendirian mereka.

Tindakan keluar parti itu turut melibatkan ketua Puteri semua Umno bahagian sementara Ketua Wanita Umno Sabah Datuk Jainab Ahmad berkata pemimpin sayap tersebut belum membuat keputusan.

Dalam satu kenyataan di sini, Jainab berkata Wanita Umno memerlukan tempoh bertenang sebelum tindakan seterusnya diambil, termasuk memberi penerangan kepada pemimpin Wanita peringkat bahagian. - Bernama