Tular video lama rusuhan, polis beri amaran

Wan Mohd Zahari
Wan Mohd Zahari
A
A
A

KUANTAN - Polis memberi amaran supaya orang ramai tidak memecahbelahkan keamanan atau menimbulkan kegusaran kepada rakyat di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu menegaskan tindakan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan boleh diambil sekiranya terdapat mana-mana individu atau pihak melakukan perbuatan itu.

Menurutnya, amaran itu dikeluarkan susulan satu video berdurasi 40 saat tersebar di laman sosial yang memaparkan kejadian rusuhan sekumpulan lelaki di premis yang dijadikan pejabat sebuah parti politik di sini dan kelihatan gambar dua pemimpin sebuah parti politik semasa dalam video itu, pada Rabu.

"Hasil siasatan polis mendapati video berkenaan merupakan kejadian rusuhan yang berlaku pada 23 Mei 2014 di sebuah premis di Kuantan.

"Sebanyak tiga laporan polis telah dibuat berkaitan kejadian berkenaan dan kertas siasatan telah dibuka oleh pihak polis di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau percaya video yang dirakam oleh individu atau orang awam sembilan tahun lalu telah ditularkan semula bagi menghangatkan situasi politik terkini.

Tegasnya, tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga akan diambil kepada mereka yang terlibat.

"Di bawah seksyen ini memperuntukkan hukuman sehingga dua tahun penjara atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

"Boleh dikenakan kepada mana-mana individu yang memviralkan video berkenaan," ujar beliau.

Sehubungan itu, Wan Mohd Zahari menasihatkan kepada semua masyarakat agar menghentikan sebarang penyebaran video atau apa-apa artikel berbentuk spekulasi dan tidak memberikan sebarang manfaat kepada masyarakat.