Fenomena air pasang besar landa Rengit

Air pasang besar landa kawasan Pantai Rekreasi Punggur,Rengit pada Khamis. (Gambar kecil: Abdullah)
Air pasang besar landa kawasan Pantai Rekreasi Punggur,Rengit pada Khamis. (Gambar kecil: Abdullah)
A
A
A

BATU PAHAT - Beberapa kampung di kawasan pesisir pantai di Rengit di sini dilanda fenomena air pasang besar mencecah ketinggian 3.4 meter bermula pada jam 9 pagi, Khamis.

Antaranya Kampung Sungai Punggur Laut, Kampung Sungai Perpat dan Kampung Sungai Lurus.

Fenomena air pasang besar yang berlaku sejak Rabu, menyebabkan penduduk yang bekerja sebagai nelayan pantai tidak dapat turun ke laut berikutan ombak besar.

Tinjauan dilakukan pada jam 10 pagi mendapati keadaan air pasang besar di Pantai Rekreasi Punggur masih dalam keadaan terkawal.

Penduduk Kampung Sungai Punggur Laut, Pun Kawi, 62, berkata, keadaan air laut yang semakin tinggi dianggap luar biasa dan berisiko mengundang kejadian banjir sekiranya hujan berlaku.

"Kedudukan rumah penduduk dengan Pantai Rekreasi Punggur di sini hanya terletak kira-kira satu kilometer. Setakat ini banjir akibat fenomena air pasang besar belum pernah berlaku di kawasan kampung.

"Namun dengan keadaan air laut yang semakin tinggi dan cuaca tidak menentu, sudah tentu penduduk di sini bimbang. Kami sudah pun melakukan persiapan sekiranya banjir berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Gerai di kawasan Pantai Rekreasi Punggur yang dinaiki air ketika fenomena air pasang besar berlaku pada pagi Khamis.
Gerai di kawasan Pantai Rekreasi Punggur yang dinaiki air ketika fenomena air pasang besar berlaku pada pagi Khamis.

Ketua Komuniti Nelayan Kampung Sungai Punggur Laut, Abdullah Kassim, 65, berkata kejadian air pasang besar dianggap lumrah biasa kepada nelayan pantai di sini.

"Jika disusuli ribut dan hujan lebat berterusan itu memang bahaya dan terlalu berisiko. Kami perlu lebih berhati-hati. Tetapi kebiasaannya kami akan periksa dulu keadaan cuaca sebelum turun ke laut.

"Bukan sahaja nelayan yang terjejas mata pencarian, tetapi juga peniaga di kawasan gerai di Pantai Rekreasi Punggur. Peniaga tidak dapat menjual makanan dan minuman kerana kawasan gerai dinaiki air akibat air pasang besar," katanya.

Justeru, Abdullah menggesa pembinaan benteng pemecah ombak atau batu bom bagi menggantikan benteng yang sedia ada kerana tidak sesuai menampung kesan daripada ombak kuat ketika air pasang besar.

"Sejak lima tahun kebelakangan ini, ombak makin kuat, air pasang makin tinggi. Keadaan makin teruk dan perlukan tindakan segera dengan pembinaan batu bom di sepanjang kawasan pantai kira-kira enam kilometer," katanya.

Anggota bomba melakukan pemantauan di kawasan Pantai Rekreasi Punggur, Rengit ketika fenomena air pasang besar pada Khamis. (Gambar kecil: Mohd Salleh Abdul Rahim)
Anggota bomba melakukan pemantauan di kawasan Pantai Rekreasi Punggur, Rengit ketika fenomena air pasang besar pada Khamis. (Gambar kecil: Mohd Salleh Abdul Rahim)

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Penguasa Bomba Kanan ll Mohd Salleh Abdul Rahim berkata, air laut yang melimpah masih dalam terkawal namun pihaknya sentiasa memantau dari semasa ke semasa sebagai langkah berjaga-jaga.

"Tinjauan mendapati dua kawasan di Kampung Sungai Perpat dan Kampung Sungai Punggur agak terkawal dan air melimpah ke kawasan darat kira-kira 0.5 meter.

"Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika berkunjung ke kawasan rekreasi di pesisir pantai di Batu Pahat dan sentiasa patuhi arahan terkini daripada pihak berkuasa," katanya.

Katanya, anggota bomba sentiasa dalam siap siaga dan akan terus melakukan rondaan di kawasan yang berisiko dinaiki air pasang besar dari semasa ke semasa.

Pada 4 November, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut akan bermula 7 November dan berterusan sehingga Mac 2023.

Kejadian air pasang besar dijangka berlaku dalam tempoh antara 6 hingga 11 dan 22 hingga 27 November ini; 7 hingga 12 dan 22 hingga 26 Disember serta 6 hingga 10 dan 21 hingga 25 Januari 2023.