PBRS akur keputusan BN bentuk kerajaan perpaduan: Arthur

Arthur Joseph Kurup
Arthur Joseph Kurup
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akan akur apa sahaja keputusan yang diambil Barisan Nasional (BN) demi kepentingan membentuk kerajaan yang stabil, kata Timbalan Presidennya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pensiangan itu menegaskan apa pun keputusan itu, ia mesti dilakukan melalui saluran yang betul dan diperakui sebagai keputusan BN kerana semua mandat adalah sebagai Ahli Parlimen BN.

Beliau berkata, buat masa ini, Majlis Tertinggi BN tidak pernah menyokong atau menentang mana-mana pihak secara rasmi dan keputusan Majlis Tertinggi BN yang terakhir adalah untuk BN kekal berkecuali dan sebagai pembangkang.

"Itu (Keputusan Majlis Tertinggi BN) tidak diubah. PBRS mengambil maklum kenyataan terbaharu UMNO itu. Sekarang ia perlu diperakui oleh BN,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Malam Rabu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu menyokong untuk menyertai kerajaan perpaduan seperti yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun bukan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).

Arthur berkata, perpaduan dalam BN perlu dikekalkan kerana rakyat mengharapkan BN menyumbang untuk membentuk kerajaan yang stabil.

"Oleh kerana pihak Istana mahu kita semua bekerjasama membentuk kerajaan yang stabil dan bersatu untuk Malaysia, kita perlu mempertimbangkan semula kedudukan kita supaya negara kita boleh bentuk kerajaan yang stabil. Kita tidak boleh membiarkan ia tergantung dan kita mesti melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15 baru-baru ini BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, pencapaian terburuk dalam sejarah, manakala PH menang 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

Keputusan PRU15 menyaksikan tidak ada parti mahupun blok parti politik yang berjaya mendapat majoriti sekali gus menyebabkan Parlimen tergantung.

Majlis Raja-Raja bermesyuarat pada Khamis bagi membincangkan pembentukan kerajaan baharu. - Bernama