Parlimen Sierra Leone kecoh, anggota dewan saling bertumbuk

Beberapa ahli Parlimen terpaksa diusir keluar untuk meredakan ketegangan tersebut. - Foto Agensi
Beberapa ahli Parlimen terpaksa diusir keluar untuk meredakan ketegangan tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

FREETOWN - Parlimen Sierra Leone kecoh dengan insiden pergaduhan pada Rabu ketika anggota dewan itu sedang membahaskan tentang cadangan perubahan terhadap sistem pilihan raya yang membolehkan perwakilan berkadar pada pemilihan Jun depan.

Rakaman video memaparkan anggota parti pemerintah, Parti Rakyat (SLPP) dan wakil pembangkang, Kongres Seluruh Rakyat (APC) saling bertumbuk serta melemparkan kerusi ketika perbalahan tersebut.

Pertelingkahan itu tercetus selepas pembangkang menolak cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya di negara Afrika barat itu yang mengesyorkan pertukaran kepada sistem perwakilan berkadar walaupun mendapat sokongan penuh parti pemerintah.

Pengerusi Jawatankuasa Maklumat Parlimen, Matthew Sahr Nyuma turut mengesahkan perkelahian tersebut.

Ia adalah mengenai instrumen berkanun yang memberikan mandat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membuat peraturan, namun ada anggota dewan enggan mengikut prosedur Parlimen dan mula bertindak luar kawalan sebagai tanda protes.

"Kami terpaksa menghubungi pihak berkuasa untuk menyelesaikan perbalahan berkenaan," ujarnya sambil menjelaskan beberapa anggota Parlimen telah diusir keluar sebagai usaha meredakan ketegangan tersebut.

Pilihan Raya Presiden yang dijadualkan serentak pada Jun 2023 akan menyaksikan Presiden Julius Bio yang dilantik pada 2018 bertanding semula untuk penggal kedua.

Pada minggu lalu, Parlimen meluluskan rang undang-undang untuk memperkenalkan kuota jantina dalam semua jawatan yang dipilih dan dilantik menjelang pemilihan tahun depan yang merupakan kempen utama dijanjikan Bio, kira-kira lima tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Sierra Leone yang berpopulasi kira-kira lapan juta penduduk berada dalam keadaan relatif stabil sejak perang saudara 1991-2002 berakhir yang menyaksikan kira-kira 120,000 orang terkorban. - AFP