Notis dilarang masuk ditampal di pagar pejabat Anwar
PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Pegawal keselamatan dilihat menampal notis larangan di luar pagar Pejabat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.
Notis tersebut yang bertulis 'Dilarang masuk jika tidak mempunyai sebarang urusan' itu telah ditampal pada jam 10.57 pagi tadi.
Dalam pada itu, pengawal Anwar dilihat keluar dari pejabat membawa beberapa makanan ringan dan minuman untuk disediakan kepada petugas media yang 'berkampung' di luar pejabat beliau.
Antara makanan yang disediakan adalah nasi goreng, bihun goreng, mi goreng, biskut, minuman isotonik dan air mineral.
Petugas media sudah mula berkumpul di luar pekarangan pejabat Presiden PKR itu di Jalan Gasing sejak jam 8.30 pagi.
Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah perkenan untuk menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Khamis.
Menurut Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, perbincangan khas ini adalah bertujuan mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat.
Sesi-sesi menghadap itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan PH dan Perikatan Nasional, (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berasingan bermula jam 4.30 petang Rabu.
Sesi menghadap ketua-ketua gabungan tersebut adalah susulan daripada hasil pengesahan calon-calon Perdana Menteri yang telah dimaklumkan oleh ketua parti-parti dan ketua gabungan parti-parti politik kepada Istana Negara yang mendapati tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.