Raja-Raja Melayu tiba di Istana Negara

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Raja-Raja Melayu berangkat tiba memasuki pintu satu Istana Negara bermula jam 9.40 pagi tadi bagi menghadiri pertemuan khas bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis.

Pertemuan khas itu bertujuan mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan berkenaan pembentukan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Kenderaan terawal berangkat tiba ke Istana Negara adalah kenderaan membawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berangkat masuk pada jam 9.40 pagi.

Kemudian, kenderaan membawa Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pula berangkat tiba ke Istana Negara pada jam 10.20 pagi.

Kenderaan rasmi Istana Johor dilihat memasuki Istana Negara sekitar jam 9.40 minit pagi.
Kenderaan rasmi Istana Johor dilihat memasuki Istana Negara sekitar jam 9.40 minit pagi.

Ia disusuli kenderaan membawa Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail 10 minit kemudian.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berangkat masuk ke Istana Negara kira-kira jam 10.46 pagi.

Keberangkatan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pula adalah pada jam 10.51 pagi.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya, kenderaan membawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula berangkat tiba ke Istana Negara pada jam 10.54 pagi.

Diikuti Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada jam 10.56 dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin tiba dua minit kemudian.

Bagaimanapun, tidak kelihatan kenderaan rasmi Istana Kelantan tiba di istana dan pintu telah pun ditutup sekitar jam 11 pagi tadi.


No Image Caption

Kenderaan rasmi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dilihat keluar dari Istana Negara sekitar jam 11.59 minit pagi, manakala kenderaan rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilihat keluar dari Istana Negara sekitar jam 11.58 minit pagi.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah adalah yang terakhir berangkat meninggalkan Istana Negara pada 1.07 minit petang tadi.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah perkenan untuk menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Khamis.

Menurut Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, perbincangan khas ini adalah bertujuan mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat.

Sesi-sesi menghadap itu adalah lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perikatan Nasional, (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berasingan bermula jam 4.30 petang Rabu.

Krisis penubuhan kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri pada Khamis menyaksikan masih tidak ada mana-mana gabungan parti yang mendapat majoriti mudah untuk mentadbir negara.

PRU15 pada 19 November lalu menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada gabungan parti memiliki majoriti mudah iaitu sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

BN yang memperoleh 30 kerusi Parlimen dianggap menjadi 'king maker' atau penentu kepada penubuhan kerajaan baharu tersebut.

PH dan PN yang masing-masing memenangi 82 dan 73 sebelum ini turut melakukan beberapa pertemuan dengan pemimpin BN bagi mencapai persetujuan untuk pembentukan kerajaan.

No Image Caption