JDT enggan menangis lagi

Bergson menjadi taruhan JDT untuk merobek gawang Selangor FC dalam aksi final Piala Malaysia di Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto FB Johor Southern Tigers
Bergson menjadi taruhan JDT untuk merobek gawang Selangor FC dalam aksi final Piala Malaysia di Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak mahu menangis lagi apabila mengulangi aksi di pentas final Piala Malaysia menentang juara 33 kali Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Pasukan bimbingan Hector Bidoglio itu juga mahu menebus kekecewaan edisi lalu dan sudah bersedia memberikan sepenuh tenaga fizikal dan mental untuk memburu kejuaraan 'quadruple' musim ini.

Ayam tambatan JDT, Bergson da Silva menyifatkan ia kesempatan terbaik buat skuad Harimau Selatan melupakan memori duka apabila kalah kepada KL City FC 2-0 pada aksi final di gelanggang sama tahun lalu.

Beliau berkata, semangat berpasukan JDT berada pada tahap tertinggi yang menyaksikan mereka mampu memperagakan aksi konsisten dalam tiap perlawanan.

“Kami sangat gembira dengan kejayaan ini, malah kami bermain seperti satu keluarga di atas padang dalam setiap perlawanan.

“Pasukan perlu bersedia untuk perlawanan akhir. Semua orang tahu kesukaran aksi di final bagi memenangi trofi Piala Malaysia, namun kami akan mencuba yang terbaik.

“Ini detik terbaik buat kami menebus terhadap apa yang terjadi musim lalu kerana kami tidak mahu kecewa dan menangis sekali lagi. Jadi kami akan bekerja keras untuk aksi akhir ini,” katanya.

Skuad Harimau Selatan hanya selangkah untuk 'tapau' semua trofi domestik pada musim ini.

Artikel Berkaitan:

Bermula langkah kanan dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Sumbangsih), JDT kemudian menjulang Piala FA selain meneruskan dominasi memenangi kejuaraan Liga Super untuk sembilan musim berturut-turut.

Kejayaan mencipta sejarah mara ke kelompok 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Asia musim ini dan seterusnya mendakap Piala Malaysia pasti melengkapkan musim gemilang kelab milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu.