Warga Kemensah enggan tercicir dari pembangunan

Titi didirikan keluarga Umi Baizura sebagai penghubung antara rumah ke jalan besar. Gambar kecil dari kiri: Umi Baizura, Mohamed Nazri, Mohd Firdaus
Titi didirikan keluarga Umi Baizura sebagai penghubung antara rumah ke jalan besar. Gambar kecil dari kiri: Umi Baizura, Mohamed Nazri, Mohd Firdaus
A
A
A

HULU KLANG - Penduduk Kampung Kemensah berharap kawasan tersebut turut menikmati pembangunan seperti yang dinikmati di kawasan-kawasan lain.

Anak jati Kampung Kemensah, Mohd Firdaus Mohd Azmi, 41, mencadangkan agar tanah lapang yang masih berbaki di kawasan mereka dapat didirikan sekolah berasrama penuh atau tapak niaga untuk manfaat penduduk kampung.

Menurutnya, Kemensah terletak dalam kawasan bandar namun tidak ramai tahu kewujudannya selain Zoo Negara.

"Kami berharap ada kemajuan di sini, kami mahu infrastruktur di sini di tambah baik lagi. Banyak tanah yang boleh dibangunkan untuk membuka peluang pekerjaan kepada penduduk.

"Salah satunya adalah tapak yang boleh diberikan kepada anak Kemensah untuk berniaga atau diadakan proram yang baik kepada masyarakat sekeliling," katanya ketika tinjauan Sinar Harian berhubung harapan rakyat terhadap kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Mohd Firdaus berkata, Kampung Kemensah merupakan tanah rancangan bagi peneroka mengusahakan kebun getah dan dusun ketika di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor kelapan, Datuk Seri Harun Idris.

Katanya, bermula dengan hanya 47 rumah kini kawasan itu telah diwarisi hingga ke generasi keempat.

Tambahnya, dia yang merupakan generasi ketiga melihat banyak tanah di kawasan tersebut telah diambil pemaju yang banyak memfokuskan kepada projek perumahan.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedia maklum kawasan Kuala Lumpur penduduknya padat tetapi sekolah berasrama penuh kurang.

"Jadi kalau boleh saya harap didirikan sekolah bukan hanya untuk anak kampung tapi anak-anak luar pun boleh masuk, di situlah ekonomi boleh berlaku," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohamed Nazri Mohamed Jaffar, 44, berkata, dia berharap jalan di kawasan kampung dapat diberikan perhatian dan diturap bagi tujuan keselamatan.

"Ada beberapa jalan dalam keadaan berlopak hingga ada beberapa kemalangan. Ada antaranya hampir masuk ke sungai dan jatuh sendiri.

"Paling saya ingati kejadian berlaku di depan mata apabila seorang bayi tercampak selepas motosikal dibawa bapanya terbabas akibat terlanggar lubang. Saya harap isu ini diberikan perhatian oleh pihak berkuasa tempatan," jelasnya.

Bagi Umi Baizura Abdul Rahim, 60, pula berkata, dia menjadi mangsa banjir setiap kali berlaku hujan lebat berikutan rumahnya terletak berhampiran sungai.

Bukan itu sahaja, dia berkata, titi yang dibina bagi menghubungkan rumah dan jalan utama juga kerap kali dihanyutkan air setiap kali banjir dan arus deras.

"Saya selalu berdepan isu banjir, rumah masuk air, jambatan yang dibina hanyut. Setiap kali selepas banjir kami terpaksa bina jambatan baharu menggunakan buluh.

"Air juga memasuki rumah dan keadaannya agak teruk. Apabila angin kuat tanah runtuh menghempap dapur kami. Setiap kali hujan menyebabkan kami trauma dan saya harap dibantu," katanya.