[VIDEO] PRU15: PN tidak setuju tubuh kerajaan perpaduan dengan PH

Muhyiddin Yassin ketika sidang akhbar di kediamannya di Bukit Damansara pada Selasa.
Muhyiddin Yassin ketika sidang akhbar di kediamannya di Bukit Damansara pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan gabungan parti itu berpendirian untuk tidak terlibat dengan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) sebaliknya menyifatkan PN wajar mendapat mandat membentuk kerajaan berdasarkan 115 akuan bersumpah (SD) yang telah dihantar ke Istana Negara.

Menurutnya, satu dokumen berkaitan juga telah ditandatangani dan PN memilih untuk tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa.

“Baginda mencadangkan supaya kita bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan. Tetapi kami (PN) telah bincang perkara itu sejak awal lagi. Kami tidak akan bekerjasama dengan PH.



“Itu pendirian parti kita sejak dulu hingga ke hari ini atas tujuan apa sekali pun kita tetap tak bersetuju.

“Jadi tadi saya diminta untuk menandatangani dokumen yang minta kalau kami bersetuju. Saya tanda tangan tapi jawab tidak bersetuju. Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pun ada sama.

“Memang kita dah sepakat atas sebab-sebab yang kita tahu kenapa kita tak boleh bekerjasama dengan PH ini umum orang tahu apa sebabnya dan itu pendirian kita,” katanya ketika sidang akhbar di kediamannya di Bukit Damansara pada Selasa.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, PN telah pun menyerahkan dokumen-dokumen yang diperlukan oleh pihak Istana Negara melalui email pada Isnin untuk membuktikan gabungan itu mempunyai sokongan bagi membentuk kerajaan berdasarkan majoriti.

Katanya, PN turut menerima surat akuan penerimaan daripada Setiausaha Sulit Kanan Kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim yang mengesahkan menerima dokumen dihantar.

“Kami PN dengan gabungan banyak parti-parti dengan ahli-ahli Parlimen parti-parti yang lain berjumlah 115 dengan disokong oleh SD dikemukakan kepada pihak Istana Negara

“Saya nak menunjukkan bukti bahawa waktu saya menyerahkan atau kami menghantarnya menerusi email PN mempunyai sejumlah bilangan ahli Parlimen melebihi daripada 112 yang dikehendaki dalam Perlembagaan negara

“Jadi sebab itu kami yakin kami sewajarnya boleh membentuk kerajaan. Tapi apabila saya menghadap tadi, dikatakan ini tidak mencukupi. Saya tidak tahu apakah sebab-sebab di sebalik itu. Tapi buktinya ada di sini,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan: