Konvensyen Kerajaan Perpaduan bukti kerjasama 19 parti serius

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini penting bagi kesemua 19 parti yang membentuk gabungan itu dalam menzahirkan kepada rakyat bahawa mereka serius bagi memastikan kerjasama bukan sekadar 'marriage of convinience'.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia diadakan sebagai manifestasi, iltizam, keazaman termasuk komitmen dari seluruh kepimpinan parti gabungan ini dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Kita nak bergerak ke hadapan (dengan) fokus kepada rakyat. Isu sekarang ini melibatkan ekonomi, selain memastikan kemakmuran, keselesaan dan mereka dapat pekerjaan dengan gaji bermaruah dan hidup dalam rukun damai.

"Jadi, ini soal-soal yang terkait dengan pembinaan negara bangsa dan juga konsep Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusi sekretariat Kerajaan Perpaduan.

"Bagaimanakah nak menterjemahkan idealisme Madani dalam kerangka masyarakat yang mengimpikan atau mendambakan keharmonian, kemakmuran dan kestabilan.

"(Tambahan) rakyat sudah letih, berdepan dengan ketidakstabilan politik menyaksikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, tiga kerajaan dan Perdana Menteri bersilih ganti hingga 'memangsakan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Agenda Awani yang bertajuk Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, Apa Yang Ingin Dicapai? pada Rabu yang turut menampilkan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha Agung UMNO itu turut menegaskan bagi menyelamatkan kestabilan negara, semua pihak perlu berhenti atau menoktahkan segala kekusutan atau gugatan khususnya politik.

"Ekonomi terus merudum, pelabur meminggirkan dari negara sebab itu 'we put a stop' atau istilah Anwar menoktahkan segala ketidakstabilan kerana gugatan akan hanya mencairkan asas-asas yang kita bina bersama sejak merdeka," ujarnya.