Banjir: 29 penduduk Kampung Batu Kapor terpaksa berpindah

Antara rumah penduduk di Kampung Batu Kapor, Temerloh yang terjejas akibat banjir pada Isnin. (Gambar kecil dari kiri:Nazilah, Saridah, Shakila)
Antara rumah penduduk di Kampung Batu Kapor, Temerloh yang terjejas akibat banjir pada Isnin. (Gambar kecil dari kiri:Nazilah, Saridah, Shakila)
A
A
A

TEMERLOH - "Tak sempat selamatkan banyak barang dalam rumah, cuma ambil pakaian dan dokumen penting saja," kata pekerja kedai bunga, Shakila Salam, 24, selepas rumahnya antara yang dinaiki air pada petang Isnin.

Menurutnya, dia dan lima lagi ahli keluarga lain termasuk suami dan anaknya segera berpindah ke Dewan Sri Gading Kampung Gajah Mati di sini pada malam tadi (Isnin).

"Trauma dengan kejadian banjir besar tahun lalu menyebabkan kami semua segera berpindah," kata Shakila.

Dia antara 29 mangsa banjir melibatkan sembilan buah keluarga dari Kampung Batu Kapor di sini yang ditempatkan di dewan itu buat sementara waktu.

Bagi Nazilah Kasim, 55, rasa tidak sedap hati membawa petunjuk kawasan rumahnya antara yang terjejas.

Seramai 29 mangsa banjir ditempatkan di Dewan Sri Gading, Termerloh.
Seramai 29 mangsa banjir ditempatkan di Dewan Sri Gading, Termerloh.

"Saya balik mengundi ke Kerdau pada Sabtu lalu sebelum tidur di rumah anak di Temerloh dan mengajak suami pulang melihat keadaan rumah.

"Tengok sudah air atas jalan, saya dan suami juga segera berpindah ke sini malam tadi (Isnin)," jelas suri rumah itu.

Seorang warga emas, Saridah Bayan, 62, turut berpindah kerana risau dengan keselamatan diri.

"Trauma dan takut masih ada sejak kejadian banjir besar tahun lalu dan berharap kejadian sama tidak lagi berlaku kali ini," tambah Saridah lagi.

Tinjauan Sinar Harian pada jam 4 petang Selasa, air sudah surut di beberapa kawasan namun mangsa masih belum pulang ke rumah masing-masing.