Polis Johor terima 339 laporan sepanjang PRU15

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 339 laporan polis diterima di negeri ini sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mulai 4 hingga 21 November lalu.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, daripada jumlah berkenaan daerah Kota Tinggi merekodkan jumlah tertinggi dengan 78 laporan diikuti Johor Bahru Utara (58), Kluang (30), Iskandar Puteri (30), Baru Pahat (25), Pontian (24), Muar (20), Segamat (17), Johor Bahru Selatan (16), Seri Alam (12), Kulai (11), Tangkak (11) dan Mersing sebanyak tujuh laporan.

Malah katanya, sebanyak 30 kertas siasatan juga telah dibuka dengan lapan kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 manakala tujuh kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Bahan Letupan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Selain itu kesalahan melakukan perbuatan khianat terhadap bendera dan poster calon-calon yang bertanding merupakan kes paling tinggi disiasat iaitu melibatkan sebanyak 15 kes.

"Kes-kes berkenaan adalah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Tambah Kamarul Zaman, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak enam tangkapan melibatkan enam lelaki warga tempatan telah dibuat.

"Dalam masa sama, sebanyak 27 kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Johor," katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman turut menegaskan bahawa proses pembuangan undi pada PRU15 telah berlangsung dengan lancar tanpa berlaku sebarang insiden dan perkara yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Artikel Berkaitan: