Rakyat perlu terima kerajaan gabungan: Yadim

Tuan Kamarul Arief Tuan Soh
Tuan Kamarul Arief Tuan Soh
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat perlu terima kerajaan gabungan dan bukannya lagi parti tunggal yang mentadbir negara sepertimana kebiasaan dialami sejak berdekad lamanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, langkah untuk bekerjasama antara parti selepas tidak mendapat majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15 ) adalah pilihan kedua kepada sistem pemilihan yang bersifat majoriti dan bukannya berkadar.

Menurut beliau, kerajaan gabungan tidak akan bercakap soal idealisme dan agenda parti masing- masing tetapi lebih kepada sasaran serta bidang tumpuan bersama.

"Perbincangan ke arah kerajaan gabungan selepas pilihan raya pernah dibincangkan parti-parti politik di Malaysia.



"UMNO pernah bercakap hal ini, Pas juga tidak ketinggalan selain parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) walaupun setiap pihak mahu menang dan membentuk kerajaan secara solo.

"Cuma mungkin kerana ini realiti baharu yang dihadapi oleh kita, maka kita masih gayat dan mengulasnya berdasarkan pengalaman dan idealisme lama," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Di Malaysia, lebih 15 juta pengundi yang meletakkan rakyat pada realiti bahkan dalam dunia demokrasi yang matang dan maju, kerajaan gabungan terjadi dengan begitu biasa.

Menafikan kerajaan gabungan sebenarnya lebih hipokrit, Tuan Kamarul Arief memberitahu, soal itu tidak berbangkit kerana ia realisme yang dipilih oleh pengundi.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya, kerajaan gabungan Cameron-Clegg yang terbina selepas parlimen tergantung di United Kingdom (UK) pada tahun 2010 telah menggabungkan dua parti yang bertentangan ideologi iaitu konservatif dan liberal.

"Kerajaan ini berjaya mengimbangkan kembali ekonomi UK selepas krisis ekonomi global 2008-2010," ujarnya.

Tambah beliau, selain itu, Koalisi Indonesia Maju (KIM) merupakan gabungan 12 parti yang sangat bertentangan ideologi mereka.

"Lebih menarik, Jokowi sendiri bukanlah pemimpin utama partinya PDI-P, tetapi diberi sokongan untuk mengetuai gabungan ini.

"Hasilnya? Indonesia sekarang menjadi destinasi pelaburan bernilai tinggi dunia dan ke arah menjadi salah sebuah kuasa ekonomi dunia menjelang 2030," jelasnya.

Dalam pada itu, Tuan Kamarul Arief menegaskan, beliau yakin bahawa setiap pihak mempunyai cita-cita untuk Malaysia yang lebih baik.

"Ini bukan masanya untuk mengangkat panji kerajaan PH, Perikatan Nasional (PN) atau BN. Ini kerajaan gabungan rakyat Malaysia," katanya.