'Tak boleh tinggal gabungan untuk sokong parti lain'

Azalina Othman Said
Azalina Othman Said
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen yang menang PRU15 tidak boleh meninggalkan gabungan politik diwakili mereka untuk menyokong mana-mana ahli politik dari gabungan lain bagi membentuk kerajaan baharu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman dalam perkongsian berbentuk soalan dan jawapan di Facebook berkata, ini kerana mereka terikat dengan undang-undang anti-lompat dan perlu mengosongkan kerusi dimenangi jika berbuat demikian.

Berikut adalah soalan dan jawapan mengenai perkara tersebut:

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah berlangsung pada 19 November 2022 (Sabtu), apa yang berlaku?

Susulan keputusan rasmi PRU15, tiada parti politik berjaya memperoleh

majoriti mudah 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Apakah implikasi di sini?

Memandangkan tiada parti politik atau gabungan parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu, kita kini mempunyai Parlimen yang tergantung.

Artikel Berkaitan:

Apa langkah seterusnya?

Semua parti politik dan gabungan parti politik, yang telah memperoleh kerusi Parlimen, perlu cuba berunding untuk membentuk kerajaan gabungan pasca-pilihan raya (KG-PPR).

Malah, Yang di-Pertuan Agong juga telah menitahkan agar semua ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik berusaha membentuk KG-PPR dan mengenal pasti calon Perdana Menteri.

Bagaimana KG-PPR dibentuk dan bagaimana calon Perdana Menteri dikenal pasti?

Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik dan gabungan parti politik, selepas berunding, perlu berkumpul secara en bloc dengan parti politik dan/atau gabungan parti politik lain untuk secara kolektif menyokong pembentukan KG-PPR dan mengenal pasti calon Perdana Menteri di kalangan mereka.

Apakah langkah-langkah yang diperuntukkan di bawah Undang-undang untuk memastikan ahli Parlimen dari parti politik masing-masing akan bergabung untuk menyokong pembentukan KG-PPR dan mengenal pasti calon Perdana Menteri?

Terdapat dua peringkat berhubung perkara ini. Di peringkat pertama, Undang-undang Larangan Lompat Parti yang digubal pada awal tahun ini melalui pindaan perlembagaan dengan memasukkan Perkara 49A dalam Perlembagaan Persekutuan, akan memastikan kepatuhan disiplin ahli-ahli Parlimen.

Di bawah Undang-undang Larangan Lompat Parti, seorang Ahli Parlimen daripada parti politik perlu mengosongkan kerusinya jika a) dia meletakkan jawatan sebagai ahli parti politik, atau b) dia berhenti menjadi ahli parti politik itu.

Di sini, mekanisme pemberhentian keahlian sesebuah parti politik akan memastikan kepatuhan disiplin. Tetapi, bagaimanakah ia dapat dicapai?

Di peringkat kedua, parti politik boleh dan telahpun menetapkan pelbagai cara untuk memastikan ahli Parlimen mematuhi arahan parti politik, sama ada melalui pindaan perlembagaan parti atau melalui satu set perjanjian, untuk memastikan Ahli Parlimen mengikut keputusan parti dalam isu-isu asas, yang juga merangkumi isu pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri.

Oleh itu, mana-mana ahli Parlimen yang enggan menuruti keputusan parti, akan digugurkan iaitu 'ceases to be a member' keahlian partinya, dan perlu mengosongkan kerusi mereka di Parlimen.

Ini akan bertindak sebagai penghalang kepada ahli Parlimen daripada mengingkari arahan parti, sekali gus memastikan kepatuhan disiplin parti.

Apakah akibat jika segelintir ahli Parlimen enggan mematuhi arahan parti? Apakah kaedah sedia ada dalam Barisan Nasional untuk memastikan dan mengekalkan kepatuhan disiplin parti?

Seperti yang dinyatakan di atas, BN juga telah mewujudkankan langkah-langkah untuk menguruskan disiplin parti, terutamanya di kalangan ahli Parlimen yang dipilih di sini.

Sebelum mereka menerima watikah dan pencalonan sebagai calon BN, semua calon BN telah menandatangani beberapa siri dokumen yang terdiri daripada surat tawaran, Akuan Berkanun, Perjanjian Pencalonan dan sumpah aku janji.

Implikasi kolektif semua dokumen yang disebutkan diatas ialah a) semua ahli parlimen BN yang dipilih telah mengisytiharkan bahawa mana-mana kerusi yang mereka tandingi dan menangi adalah milik BN dan b) Pengerusi BN mempunyai hak prerogatif untuk merundingkan pembentukan KG-PPR.

Ahli Parlimen BN masing-masing juga telah bersetuju bahawa mereka akan berhenti menjadi ahli BN jika mereka melanggar arahan BN di mana di bawah operasi Undang-undang Larangan Lompat Parti, mereka akan kehilangan kerusi mereka di Parlimen.

Bukankah ini tidak Berperlembagaan kerana ia melanggar hak Kebebasan berpersatuan?

Ia tidak akan melanggar perlembagaan. Dalam proses memperkenalkan Undang-undang Larangan Lompat Parti, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berpersatuan telah dipinda, untuk menyekat kebebasan berpersatuan bagi Ahli Parlimen, tertakluk kepada Undang-undang Larangan Lompat Parti.

Implikasinya di sini ialah seorang Ahli Parlimen terikat dengan arahan parti, dan bukan lagi 'ejen bebas'.

Memandangkan Undang-undang Larangan Lompat Parti membenarkan penghijrahan secara en Bloc dari satu gabungan ke gabungan yang lain, jadi mana-mana parti komponen dalam gabungan yang sedia ada boleh untuk tidak bersetuju gengan gabungan politik mereka dalam KG-PPR atau Perdana Menteri dan keluar daripada gabungan parti politik tersebut?

Ya, Undang-undang Larangan Lompat Parti secara tersirat membenarkan parti politik untuk berhijrah secara en bloc dari satu gabungan ke gabungan parti politik yang lain.

Walaubagaimanapun, satu perkara yang perlu diingat ialah Undang-undang Larangan Lompat Parti dalam mentakrifkan parti politik, tidak membezakan antara gabungan politik dan parti politik komponen.

Implikasinya di sini ialah jika gabungan politik sedia ada bertanding di bawah satu logo dan membentangkan satu manifesto pada PRU15, dan lebih penting lagi, jika calon-calon ini mendapat watikah mereka untuk bertanding PRU15 secara langsung daripada ketua gabungan parti politik masing-masing, gabungan ini adalah sebuah parti politik di bawah Undang-undang Larangan Lompat Parti.

Oleh itu, mana-mana parti komponen yang ingin meninggalkan gabungan parti politik sedia ada seperti yang dinyatakan di atas perlu mengosongkan kerusi mereka kerana mereka telah berpaling tadah daripada parti politik tersebut.