Sampai bila kita harus tertipu dengan drama politik

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

MASIH segar dalam ingatan kita semua apabila pada Pilihan Raya Umum ke-14, rakyat telah bersuara di peti undi membuat pilihan mereka tetapi ia kemudian dikhianati oleh tindakan ahli Parlimen melompat parti.

Tindakan itu menyebabkan kerajaan yang dipilih secara sah mengikut lunas-lunas demokrasi tumbang. Ini membawa kepada ketidakstabilan politik yang berlanjutan sehinggakan timbul desakan supaya Parlimen dibubarkan dengan harapan dapat membentuk kerajaan baharu yang lebih stabil.

Percaya dengan janji-janji bahawa PRU15 akan dapat memberikan keadaan yang lebih baik bagi negara ini dalam menghadapi cabaran politik dan ekonomi yang lebih mencabar tahun depan, rakyat pun turun beramai-ramai membuat pilihan masing-masing pada PRU15, Sabtu lalu.

Kira-kira 70 peratus atau lebih 15 juta turun mengundi. Mereka turun dengan niat yang sudah terpasak di hati iaitu memilih calon dan parti berdasarkan prestasi sebelum ini, janji-janji mahupun personaliti calon itu sendiri.

Contohnya, ada pengundi memilih Pakatan Harapan (PH) kerana gabungan itu tekad menentang Barisan Nasional (BN) yang dilabelkan sebagai parti yang terpalit dengan kluster mahkamah. Mereka mahukan sebuah kerajaan yang bersih lagi cekap.

Pengundi Perikatan Nasional (PN) pula percaya gabungan itu lebih baik, selain menganggap sesetengah pemimpin BN sebagai punca PRU terpaksa diadakan lebih awal pada musim banjir.

Sepanjang tempoh kempen PRU15, hampir semua parti seperti bermusuh bagai berpatah arang berkerat rotan.

Sebahagian mereka memberi gambaran yang buruk-buruk sahaja kepada rakyat mengenai parti dan calon lain. Kelihatannya amat mustahil untuk mereka bekerjasama lagi.

Artikel Berkaitan:

Ironinya selepas PRU15 yang menyaksikan tiada parti yang menang majoriti mudah 112 kerusi, nadanya sudah berbeza. Calon lawan yang dulu dikutuk habis-habisan, kini menjadi kawan demi membentuk sebuah kerajaan.

Tiada lagi kutukan dan cacian. Itu belum lagi dikira janji-janji manis yang ditabur pemimpin politik semasa berkempen yang mesra dengan pengundi seperti kita adalah raja, tetapi apabila berkuasa hilang lesap entah ke mana.

Sandiwara politik ini akan dapat dilihat dengan jelas oleh rakyat sehinggalah Perdana Menteri baharu dilantik. Benarlah tiada kawan dan lawan yang kekal dalam politik, yang kekal hanyalah kepentingan.Sampai bila rakyat harus diperdaya?