PRU15: Annuar dakwa formula BN gerak solo demi bantu PH, Anwar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa pucuk pimpinan BN sudah merancang formula bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi merealisasikan impian Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Sedangkan menurutnya, rakyat terus dimomokkan dengan naratif 'No Anwar No DAP' yang digerakkan oleh kumpulan penulis naratif sekali gus menenggelamkan strategi pasti menang gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN).

"Formula bergerak solo adalah formula dicipta oleh pucuk pimpinan untuk menjayakan satu grand design yang terselindung daripada ahli parti.

"Ahli parti masih lagi dengan 'No Anwar No DAP' sedangkan pimpinan sudah ada agenda lain yang sudah 'meletop' hari ini (rundingan bersama Pakatan Harapan).

"Naratif yang diwujudkan adalah untuk meninggalkan strategi pasti menang kerana agenda peribadi nak buat 'going solo' maksudnya ke arah membantu PH dan Anwar.

"Formula itu adalah formula yang gagal dan akhirnya menjadi bencana," katanya dalam wawancara eksklusif 'Apa Muslihat Zahid Hamidi' disiarkan sebuah portal pada Isnin.

Annuar turut mendakwa, gerakan itu juga telah mencipta naratif bahawa Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu membunuh UMNO.

"Bersatu dan Pas nak membunuh UMNO juga satu naratif yang direka untuk menghalalkan strategi solo," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu menjelaskan, beliau sendiri melakukan rundingan bersama Bersatu dan Pas dalam usaha mewujudkan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dakwanya, perkara itu telah dipersetujui oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk memberi laluan kerusi lebih banyak kepada UMNO.

"Kalau kata Pas atau Bersatu nak bunuh UMNO, saya masih ingat Muhyiddin kata mereka parti kecil jadi biarlah UMNO ambil kerusi paling banyak.

"Waktu berunding kita (UMNO) sasar 80 kerusi, nak beri Bersatu sehingga 40 kerusi dan Pas 30 kerusi. Jika formula ini dibuat, memang akan menang dua per tiga," katanya.