Polis nasihat keluar undi awal

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Polis menasihatkan pengundi PRK DUN Rantau hari ini, untuk keluar mengundi lebih awal, bagi mengelak kesesakan trafik pada sebelah petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Mohd Rosli Ishak berkata, trafik dijangka sesak, memandangkan beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) terletak berdekatan pekan Rantau yang merupakan jalan utama.

Katanya, pihaknya telah menugaskan, sembilan pegawai dan 56 anggota trafik, bagi memastikan kelancaran trafik di semua 14 PDM.

"Kita juga minta mereka mematuhi arahan diberikan petugas, sepanjang perjalanan pilihan raya bagi memastikan kelancaraan trafik dan proses pengundian," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Rantau di sini hari ini.

Beliau turut menasihati penyokong parti yang bertanding sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan mengelak daripada mencetuskan sebarang provokasi di PDM.

Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka 8 pagi hingga 5.30 petang hari ini, bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu.

Sebanyak 20,793 pengundi biasa layak mengundi, selepas 96 peratus daripada 110 pengundi awal terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjalankan tanggungjawab masing-masing Selasa lepas.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Dr S Streram, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Artikel Berkaitan:

PRK itu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah. - Bernama