Tiga ahli Parlimen dari Sabah bertemu Muhyiddin

Gambar pertemuan tiga ahli Parlimen dari Sabah dengan Muhyiddin yang tular di media sosial.
Gambar pertemuan tiga ahli Parlimen dari Sabah dengan Muhyiddin yang tular di media sosial.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiga ahli Parlimen dari Sabah dikatakan telah bertemu dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur pada Isnin.

Difahamkan, pertemuan itu melibatkan Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda yang juga dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan dua ahli Parlimen Bebas iaitu adiknya yang merupakan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon dan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Balang.

Pertemuan itu dikatakan berkaitan sokongan terhadap Muhyiddin dalam pembentukan kerajaan serta sebagai Perdana Menteri ke-10.

Sebelum itu, tular di media sosial pertemuan tiga ahli Parlimen itu dengan Muhyiddin dan turut kelihatan bersama ialah Presiden KDM, Datuk Peter Anthony.

Sumber terdekat mengesahkan bahawa gambar itu sahih dan pertemuan itu berlaku pada tengah hari Isnin di Kuala Lumpur.

"Iya (gambar yang tular sahih), hari ini (pertemuan) di Kuala Lumpur. Dalam tengah hari tadi," katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Ditanya adakah pertemuan itu berhubung sokongan terhadap Muhyiddin, sumber sekali lagi mengakui ia memang berkaitan.

"Ya, betul," katanya.

Artikel Berkaitan:

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan pengesahan daripada ahli Parlimen yang hadir pada pertemuan itu belum berhasil setakat ini.