Pulau Pinang catat belanjawaan defisit RM467.12 juta

Kon Yeow (tengah) bersama sebahagian Exco Kerajaan Pulau Pinang menunjukkan buku Belanjawan Pulau Pinang 2023 di DUN pada Isnin.
Kon Yeow (tengah) bersama sebahagian Exco Kerajaan Pulau Pinang menunjukkan buku Belanjawan Pulau Pinang 2023 di DUN pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Belanjawan 2023 Pulau Pinang mencatatkan defisit RM467.12 juta, lebih tinggi berbanding unjuran defisit 2022 berjumlah RM449.80 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika membentangkan belanjawan itu berkata, jumlah itu diperolehi apabila mengambil kira jangkaan hasil bagi 2023 berjumlah RM522.35 juta berbanding perbelanjaan mengurus RM989.47 juta.

Menurutnya, jangkaan defisit itu bertambah RM17.32 juta berbanding dengan defisit bagi 2022 RM449.80 juta.

Bagaimanapun, apabila mengambil kira janji kerajaan negeri yang akan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melonjakkan pembangunan negeri di samping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara, maka bajet berdefisit perlu dilaksanakan.

"Anggaran defisit atau kekurangan RM467.12 juta yang dijangka dalam Bajet 2023 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki RM848.82 juta pada akhir tahun 2021.

"Jumlah keseluruhan rizab kerajaan negeri setakat akhir tahun 2021 adalah berjumlah RM2.117 bilion termasuk Akaun Amanah Disatukan," katanya dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 pada Isnin.

Kon Yeow (DAP- Padang Kota) berkata, Bajet Pembangunan Tahun 2023 yang dicadangkan adalah berjumlah RM326.8 juta bagi sembilan jabatan negeri.

"Sumber bagi Perbelanjaan Pembangunan ini melibatkan punca negeri sebanyak RM311.24 juta dan pemberian kerajaan Persekutuan yang dianggarkan RM15.52 juta. Bajet Pembangunan tahun 2023 meningkat sebanyak RM10.63 juta atau 3.36 peratus, berbanding 2022 yang berjumlah RM316.13 juta.

Artikel Berkaitan:

"Daripada sembilan jabatan itu, enam daripadanya telah disediakan peruntukan lebih tinggi berbanding tahun 2022 iaitu Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Taman Botani, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian.

"Sementara itu, tiga jabatan lagi iaitu Jabatan Perhutanan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Jabatan Kewangan Negeri disediakan peruntukan yang berkurangan sedikit berbanding tahun 2022," katanya.

Beliau berkata, Perbelanjaan Mengurus yang dicadangkan bagi tahun 2023 sejumlah RM989.47 juta merupakan peningkatan RM54.25 juta berbanding 2022.

"Antara punca utama peningkatan Perbelanjaan Mengurus 2023 adalah berikutan pertambahan caruman ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri RM40 juta, iaitu caruman RM240 juta pada 2023 berbanding RM200 juta pada 2022.

"Di bawah peruntukan mengurus 2023, RM195.89 juta adalah bagi emolumen, RM207.10 juta bagi perkhidmatan dan bekalan, RM6.92 juta untuk perolehan aset, RM578.22 juta bagi pemberian dan kenaan bayatan tetap dan RM1.36 juta disediakan untuk perbelanjaan-perbelanjaan Lain.

"Kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip pada tahun 2023 adalah RM522.4 juta iaitu pertambahan RM36.93 juta atau 7.61 peratus berbanding anggaran hasil tahun semasa 2022 RM485.42 juta," katanya.

Kata Kon Yeow, komposisi hasil pada 2023 terdiri daripada hasil cukai RM165.65 juta atau 31.71 peratus, hasil bukan cukai RM253.93 juta atau 48.61 peratus dan terimaan bukan hasil RM102.77 juta atau 19.68 peratus.

"Punca peningkatan utama hasil RM36.93 juta yang dijangkakan pada 2023 berbanding hasil tahun 2022 adalah daripada sumber hasil bukan cukai melibatkan ‘Lesen dan Permit’ dan ‘Keuntungan Pembiayaan dan Perolehan Pelaburan’," katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, bagi menghargai sumbangan penjawat awam selain meningkatkan semangat mereka untuk terus berkhidmat dengan cemerlang, Kerajaan Pulau Pinang meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) pada akhir tahun bersamaan setengah bulan gaji kakitangan awam atau minimum RM1,200.

"Bayaran BKK ini melibatkan 3,920 penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan berjumlah RM6.13 juta.

"Semua pembayaran BKK dan geran ini akan dibuat pada Disember 2022,” katanya.