PRU15: Muhyiddin yakin cukup sokongan jadi PM ke-10

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa memiliki bilangan sokongan mencukupi untuk membolehkan dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, keyakinan tersebut bersandarkan kesediaan ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa ahli Dewan Rakyat lain untuk membentuk kerajaan.

Beliau berkata, telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada petang Ahad dan melaporkan kepada MT PN berhubung pertemuan dengan Pengerusi GPS, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pagi tadi.

Pertemuan itu jelasnya, berhubung pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas PRU15.

"Beliau (Abang Johari) telah memaklumkan kesediaan ahli-ahli Dewan Rakyat GPS untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

"Saya juga telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga telah menyatakan kesediaan ahli-ahli Dewan Rakyat GRS untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya sebagai Perdana Menteri Ke-10. Beberapa orang ahli Dewan Rakyat lain juga telah memberikan komitmen yang sama.

"Sebagai Pengerusi PN, saya berkeyakinan bahawa akan memperolehi bilangan sokongan mencukupi daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri Ke-10 sepertimana dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada awal pagi Ahad, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan tiada mana-mana parti politik memperoleh majoriti 50 peratus daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15 untuk membentuk kerajaan.

Artikel Berkaitan: