PRU15: Pengundi muda sumbang kemenangan besar PN

Wan Hassan (tengah) bersama penyokong PN selepas diumumkan memenangi kerusi Parlimen Dungun dalam PRU15.
Wan Hassan (tengah) bersama penyokong PN selepas diumumkan memenangi kerusi Parlimen Dungun dalam PRU15.
A
A
A

DUNGUN - Gelombang pengundi muda terutama yang berusia 18 tahun diyakini menjadi penentu kemenangan besar kepada Wan Hassan Mohd Ramli yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Dungun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau bukan sahaja berjaya mengekalkan kemenangan selama tiga penggal berturut-turut tetapi memperoleh kemenangan besar dengan majoriti 34,105 undi.

Wan Hassan berkata, kemenangan tersebut sudah dijangka tetapi beliau tidak menyangka mendapat undian yang begitu besar.

"Secara asas ini boleh dikatakan sebagai tsunami rakyat dan daripada pengundi muda kita dapat undi sebegini.

"Mereka menterjemahkan memilih pemimpin bersih melalui undi kali ini Mereka meletak harapan kepada ahli Parlimen untuk laksanakan hasrat," katanya.

Beliau berkata, walaupun menang namun ia bukan satu perkara mudah kerana ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

"Pada PRU14 kita menang dengan majoriti 13,119 undi sahaja dan kali ini kita jangka mungkin mencecah 20,000 undi tetapi rupanya lagi tinggi.

"Kita akan pastikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan memastikan manifesto diusahakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita berterima masih kepada semua pengundi yang memberi mandat dan tidak dilupakan jentera yang bekerja keras memastikan kemenangan diperoleh,"katanya.

Dalam pertembungan lima penjuru di Parlimen Dungun, Wan Hassan memperoleh sebanyak 59,720 undi diikuti calon BN, Nurhisam Johari sebanyak 25,615 undi, Pakatan Harapan (PH), Mohd Johari Mohammad sebanyak 5,307 undi, manakala calon Pejuang, Nuraisah Hassan 322 undi dan calon Bebas, Ghazali Ismail sebanyak 305 undi.