PRU15: Nama-nama besar tumbang di Kedah

Dari kiri: Dr Mahathir, Mukhriz, Mahfuz, Saifuddin dan Mahdzir
Dari kiri: Dr Mahathir, Mukhriz, Mahfuz, Saifuddin dan Mahdzir
A
A
A

ALOR SETAR - Tsunami Perikatan Nasional (PN) berlaku di negeri Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas tsunami Pakatan Harapan (PH) melanda Jelapang Padi pada PRU14.

Kali ini, nama-nama besar dalam PH, BN dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak mampu mempertahankan kemenangan di Parlimen masing-masing apabila PN menang bergaya membolot 13 daripada 14 kerusi Parlimen di Kedah.

Parlimen Padang Serai tidak diadakan serentak dengan PRU15 pada Sabtu berikutan kematian penyandangnya, yang juga calon PH bagi kerusi itu, M Karupaiya dan pengundian ditetapkan pada 7 Disember depan.

Aura negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pejuang gagal dipertahankan apabila tumbang kepada calon PN, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah dengan memperoleh 25,463 undi.

Dr Mahathir, 97, merupakan calon tertua pada PRU15 hanya meraih jumlah undi yang sangat rendah, iaitu 4,566 undi.

Nasib sama menimpa anak beliau apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut kecundang di Parlimen Jerlun dan hanya memperoleh 3,144 undi setelah ditewaskan oleh Yang Dipertua Pas Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad.

Walaupun pernah dua kali menerajui Kedah sebagai Menteri Besar, namun Presiden Pejuang itu gagal mempertahankan kerusi dimenangi pada PRU14 lalu yang ketika itu turut dicabar Abd Ghani.

Timbalan Presiden Pejuang, Marzuki Yahya juga telah hilang deposit setelah Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Dr Mohamed Taufik Johari mengekalkan satu-satunya kemenangan gabungan itu di Parlimen Sungai Petani.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah juga gagal mempertahankan Parlimen Kubang Pasu apabila tewas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Nama besar dalam PH pula menyaksikan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkubur di Pokok Sena. Beliau yang beberapa kali menang di kerusi berkenaan pada 1999, 2008, 2013 dan 2018 gagal mempertahankan sokongan apabila tewas kepada Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya.

Kemenangan Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat telah meranapkan penguasaan sekian lama PH di kerusi berkenaan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut gagal mempertahankan kemenangan PH di kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu yang disandangnya apabila dibolot calon Bersatu, Roslan Hashim yang merupakan muka baharu diketengahkan PN.

Malah kubu kuat PKR di Alor Setar yang dimenangi sejak beberapa penggal berjaya ditembusi PN, apabila Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden berjaya mengenepikan enam pencabar dalam pertembungan tujuh penjuru.

PH yang mempertaruhkan ADUN Bakar Arang yang juga Naib Pengerusi PKR Kedah, Simon Ooi Tze Min gagal mempertahankan kerusi berkenaan.

Parlimen Kuala Kedah turut menerima gelombang perubahan apabila deposit tetap PKR itu tumbang kepada calon PN.

Penyandang, Dr Azman Ismail tewas kepada Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dengan majoriti 28,061 undi.

Bagi pemimpin BN pula, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid terpaksa akur dengan kekalahan parti itu yang gagal meraih walau satu pun kerusi Parlimen di Kedah, termasuk gagal mengekalkan kemenangan di Padang Terap dan Baling pada PRU14.

Mahdzir yang juga penyandang di Parlimen Padang Terap yang dianggap deposit tetap UMNO gagal meneruskan legasinya apabila tewas kepada muka baharu dipertaruhkan PN, iaitu Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob gagal menembusi sokongan PN di Jerai dan Pendang yang dimenangi penyandangnya, Sabri Azit dan Datuk Awang Hashim.

Baling yang sinonim dengan penyandangnya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim turut tewas kepada Yang Dipertua Pas Kawasan Baling, Hassan Saad.

PN tidak berdepan masalah mengekalkan kemenangan di Sik yang dimenangi penyandangnya, Ahmad Tarmizi Sulaiman selain di Pendang dan Jerai pada PRU14 lalu.

PRU15 menyaksikan PN membolot 13 kerusi dan satu milik PH di Sungai Petani, berbanding PRU14 yang mana PH memenangi tujuh kerusi (enam daripada PKR, satu Amanah), tiga masing-masing milik Pas dan Pejuang manakala BN hanya dua kerusi.