PN sapu bersih di Kedah bukti rakyat yakin kerajaan negeri

Muhammad Sanusi - Foto Bernama
Muhammad Sanusi - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kejayaan Perikatan Nasional (PN) menang 13 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan bahawa kerajaan negeri sedang berada di landasan yang betul selari dengan kehendak rakyat Kedah.

Antara kerusi dimenangi adalah Jerai, Sik, Padang Terap, Alor Setar, Pokok Sena, Pendang, Kulim Bandar Baharu, Merbok, Langkawi, Kubang Pasu, Baling, Kuala Kedah dan Jerlun.

Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PN hanya kalah tipis di Sungai Petani dan tertangguh pengundian di Padang Serai.

"Marilah kita semua memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT di atas anugerah kemenangan itu.

"Berdasarkan jumlah undi yang diperoleh calon-calon PN, ia turut mengesahkan keyakinan yang sangat tinggi rakyat negeri ini kepada kerajaan negeri yang sedang melaksanakan pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, rakyat juga mahukan kerajaan pusat yang seiring dan sehaluan dengan kerajaan negeri yang diterjemahkan melalui keputusan yang dibuat di peti-peti undi.

Menurut beliau, majoriti rakyat Kedah telah membuat pilihan untuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil.

Beliau melahirkan harapan agar kerajaan yang bakal dibentuk di peringkat pusat dapat merealisasikan hasrat ini.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas pilihan raya dari PN yang telah bekerja keras sehingga akhirnya kita memperoleh kemenangan cemerlang.

"Terima kasih juga kepada pemilih yang telah mengundi PN serta tidak dilupakan juga anak-anak Kedah di perantauan yang berkorban untuk pulang mengundi PN," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berharap seluruh rakyat Kedah terus bersatu padu menjalani kehidupan yang harmoni.

Pada Sabtu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang mewakili PN mencipta kejutan apabila mengalahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Parlimen Langkawi.

Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad turut mengalahkan penyandang kerusi Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dari Pejuang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail yang dipertaruhkan di Parlimen Kubang Pasu juga memenangi kerusi itu dalam persaingan empat penjuru.

Di Padang Terap, Barisan Nasional yang meletakkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid gagal mempertahankan kerusi apabila ia dimenangi Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid.

PN diwakili Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya turut menang bergaya di Pokok Sena, manakala Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamuddin menang di Alor Setar.

Selain itu, PN juga menang di Kuala Kedah iaitu Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, Datuk Awang Hashim (Pendang), Ustaz Sabri Azit (Jerai), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik), Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok), Hassan Saad (Baling) dan Roslan Hashim (PN).

Hanya kerusi Sungai Petani, calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Taufiq Johari menang tipis mengalahkan calon PN, Robert Ling Kui Eee.