Cara berfikir disulami akhlak

A
A
A

“SUDAH sampai masanya Mahathir menjadi garang.” Begitulah tajuk sebuah artikel yang ditulis di sebuah portal maya. Ditulis pula dalam artikel itu lagi, di antaranya ialah; “secara tidak langsung Dr Mahathir dapat mengajar mungkin ada menteri-menteri yang lembap dan mengada-ngada.”

Bercakap tentang garang ini pun perlu pada tempatnya juga. Tidak boleh garang tidak bertempat sahaja. Jika garang tidak bertempat takut terkena akan maksud sebuah peribahasa lama orang Melayu bijaksana, “misai bertaring bagai panglima, sebulan sekali tak bunuh orang.”

Misai bertaring mungkin maksudnya misai berbentuk runcing dan tajam. Memang menggerunkan bila melihatnya. Tetapi misai sahaja yang gerun, hakikatnya dikhuatiri menjadi pengikut telunjuk pula.

Jadi seperti kata penulis tersebut itu lagi, sudah tiba masanya perlu dilakukan sesuatu memandangkan masa tidak panjang lagi. Tidak boleh lagi menurut sahaja. Lebih-lebih kepada mereka yang mempunyai kepentingan diri.

Paling penting sudah sampai masanya untuk menjadi garang dan ini sesuai dengan tempat dan waktunya. Setelah beberapa kali diinjak kepala bak kata pepatah, diberi betis hendak paha, makin dibiar makin mua pula. Maka saya bersetuju dengan penulis tersebut supaya Tun Dr Mahathir bertegas.

Jangan dilayan lagi pada mereka yang mua dan manja ini. Kepada yang manja hendaklah faham akan peribahasa lama, “berkaul kepada keramat” iaitu jika hendak meminta sesuatu hendaklah pada tempatnya. Jangan hanya untuk kepentingan diri.

Selain itu janganlah pula disebabkan mengejar pada bayang-bayang, habis semua hendak dirauk. Berjalan hendaklah pandang-pandang supaya tidak pula melampaui tuan kerana perlu diingat juga, jika tuan tidak dipandang-pandang, maka marahlah mereka.

Mengejar bayang-bayang adalah perbuatan sia-sia dan eloklah dihentikan. Nanti yang dikejar tak dapat, hanya penat yang dapat. Jika penat sendiri tidak apa, tetapi yang buruk lakunya jari menunjuk, kelengkeng berkait pula.

Artikel Berkaitan:

Banyak pula peribahasa yang saya tulis pada hari ini. Bukan apa, selain kita menyelami maksudnya, dapat pula kita belajar akan peribahasa orang Melayu dahulu kala yang bijaksana ini.

Namun begitu, kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, bersabarlah, jika berniat betul maka akan dapat bantuan daripada ALLAH Taala. Paling penting adalah untuk kebaikan rakyat juga.

Menyambung kata penulis itu lagi, tidak kiralah gelaran apa yang akan diberi kepada Tun nanti, hatta diktator sekalipun, jika hendak membawa negara ke landasan yang betul maka teruskanlah. Tidak berkenanlah pula saya jika disebut diktator. Garang dan tegas bertempat bukanlah diktator.

Cuma sudah masanya perkara yang perlu dibuat hendaklah diteruskan. Apatah lagi kita sekarang dalam misi menuju ke arah Malaysia Baharu. Paling penting dalam perjalanan ke arah Malaysia Baharu ini ialah cara berfikir. Berfikir cara baharu disulami pula dengan akhlak yang baharu.

Walaupun baharu, adat dan sejarah hendaklah sentiasa dijunjung juga. Supaya tidak tercicir dan dapat dikenang oleh orang-orang muda zaman sekarang serta yang akan datang. Seperti kata peribahasa Melayu lama lagi, “biar mati anak jangan mati adat.’’

Kepada mereka yang berhati serong dan cuba menangguk di air keruh pula, berhati-hati juga, kerana dalam air yang keruh tidak diketahui apa ada di dalamnya. Mungkin ada buaya tembaga dan mungkin juga ada ular sawa.

Jika tidak bersetuju dengan sesuatu, jangan dikait-kait dengan bangsa pula. Bukan apa, jika hanya bangsa dibuat ukuran maka susahlah perubahan hendak dilakukan. Paling penting adalah mewujudkan persekitaran bersih daripada salah laku dan memberi rahmat kepada sekian rakyat jelata.

Dan lagi, jika hanya mementingkan diri, maka dikhuatiri pula akan menjadi seperti peribahasa ini, “hendak untung menjadi buntung pula” dan pada masa sama yang eloknya, lebih baik jika kita menuruti peribahasa ini, “seperti raja dengan menteri.”

Namun sekarang yang berlaku ialah, pelanduk pula hampir mati tersepit. Bersabarlah rakyat jelata jika hendak menempuh bahagia.

*Penulis ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com