PRU15: BN perlu perubahan, Ahmad Zahid digesa letak jawatan

Mohd Jafni - Foto UMNO Online
Mohd Jafni - Foto UMNO Online
A
A
A

JOHOR BAHRU - BN perlu lakukan perubahan drastik demi rakyat dan parti susulan daripada kekalahan besar parti berkenaan pada PRU15.

Menurut Timbalan Pengerusi BN Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, kekalahan itu menggambarkan BN dan UMNO tidak lagi menjadi pilihan rakyat di negara ini.

“Rakyat telah selesai membuat pilihan. BN tidak menjadi pilihan rakyat. Kita sedar dan insaf atas kekalahan ini dan harus sama-sama bermuhasabah diri.

“Oleh itu, dengan penuh rasa hormat, saya memohon agar Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan dengan kadar segera sebagaimana yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib (Tun Razak) pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Sebelum itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta beberapa pimpinan UMNO negeri turut membuat kenyataan sama agar Ahmad Zahid meletak jawatan dengan segera.

Untuk rekod PRU15 menyaksikan BN hanya memenangi sembilan kerusi di Johor selain langsung tidak memenangi kerusi di Melaka, Kelantan, Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Terengganu.

Sementara itu Mohd Jafni menyifatkan tindakan (meletak jawatan) Ahmad Zahid, sebagai langkah awal dalam usaha memulihkan UMNO.

“Tindakan ini perlu dilakukan segera agar ia menjadi langkah awal kita memulihkan parti UMNO yang kita cintai.

Artikel Berkaitan:

“Kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi, semoga ALLAH SWT menetapkan jiwa dan pendirian kita semua dalam perjuangan ini, Insya-ALLAH,” katanya.