Feizal Mustapha Pengerusi Exim Bank baharu

Feizal Mustapha
A
A

KUALA LUMPUR - Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) telah melantik Datuk Feizal Mustapha sebagai pengerusi baharunya, berkuat kuasa 9 April.

Beliau menggantikan Datuk Mat Noor Nawi yang telah bersara pada 30 September 2018, kata EXIM Bank dalam satu kenyataan.

Berbekalkan pengalaman yang luas dalam kewangan korporat dan bidang penasihatan, Feizal dijangka akan meneruskan lagi usaha bagi memacu bank ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam pasaran modal negara, meliputi pelbagai aspek pengurusan dan disebabkan peranan kepimpinannya, beliau sering tampil sebagai penceramah tersohor dalam topik-topik mengenai pasaran domestik dan antarabangsa.

Feizal pernah berkhidmat dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia selama 19 tahun dalam pelbagai kapasiti serta bidang tertentu dalam pasaran modal yang merangkumi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran secara keseluruhan.

Beliau menyertai BDO Malaysia pada 2012 sebagai pengarah eksekutif, penasihat serta menjadi pengerusi pada 2015 sehingga baru-baru ini.

Sekarang ini, Feizal merupakan pengarah firma tersebut dan telah dilantik ke dalam Lembaga Pengarah Widad Group Bhd sebagai pengerusi.

Beliau memegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) daripada Cardiff Business School, Cardiff University dan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) daripada University of Stirling.

Beliau juga adalah ahli felow CPA Australia dan anggota Institut Perakaunan Malaysia, Persatuan Pengamal Insolvensi Malaysia, penilai bertauliah dan pentaksir Institut Penilai dan Pentaksir, Singapura serta sebagai anggota Jawatankuasa Penyenaraian Bursa Malaysia. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia