PRU15: Penting pilih calon ada ilmu

Dr Hussain Yusri ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk PRU15: YB Terpaling Rakyat yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat dan dihoskan oleh Asmaliza Mansor.
Dr Hussain Yusri ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk PRU15: YB Terpaling Rakyat yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat dan dihoskan oleh Asmaliza Mansor.
A
A
A

SHAH ALAM - Seseorang calon yang layak diangkat sebagai pemimpin bukan sahaja perlu pandai cakap tetapi mesti mempunyai ilmu dan pengalaman menguruskan orang ramai.

Penganalisis politik, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, menjadi seorang pemimpin yang berkredibiliti tinggi, individu tersebut perlu mahir dalam ilmu sekali gus melayakkan dirinya menjaga rakyat dengan baik.

Katanya, pemimpin yang baik seharusnya bukan sahaja mempunyai pengalaman menguruskan sesebuah organisasi, malah berkemahiran menguruskan rakyat.

Menurutnya, kumpulan pemimpin bijak tahu apa yang hendak disajikan kepada rakyat, mengenali dengan jelas dasar apa hendak membantu rakyat serta mempunyai rancangan bagaimana hendak membantu negara menuju kecemerlangan.

"Jika hendak jadi pemimpin, seseorang individu itu kena ada ilmu, kuat membaca, boleh memberi idea bernas dalam konteks kepimpinan.

"Ilmu adalah perkara yang sangat penting dalam diri seorang pemimpin. Sekiranya menjadi pemimpin tetapi tiada ilmu, bukan sahaja rakyat akan rosak malah organisasi dan kepimpinan parti juga akan hancur musnah.

"Apabila pemimpin ada ilmu, ALLAH akan mengangkat darjatnya. ALLAH sudah berpesan bahawa peranan seorang pemimpin adalah tinggi. Oleh itu, pemimpin harus berpijak pada bumi yang nyata dan merealisasikan matlamat sebagai seorang khalifah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Hussain Yusri Zawawi
Dr Hussain Yusri Zawawi

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk PRU15: YB Terpaling Rakyat yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat dan dihoskan oleh Asmaliza Mansor.

Mengulas lanjut, Hussain berkata, parti politik seharusnya lebih fokus dalam mencalonkan individu berpengetahuan luas dan berilmu sebagai calon yang bertanding pada pilihan raya.

Tambahnya, calon yang bertanding juga perlu memiliki ilmu dan berpengetahuan tinggi dalam bidang-bidang tertentu, seterusnya layak diangkat sebagai pemimpin berkemahiran.

Tegasnya, jika hanya pandai bercakap tetapi tidak memiliki ilmu, calon tersebut masih tidak layak bergelar sebagai seorang pemimpin masyarakat.

Jelasnya lagi, sebagai calon pemimpin yang akan berada pada tahap tinggi dan bakal berbahas di Parlimen, individu tersebut memerlukan ilmu yang tinggi, ketelitian berhujah, mempunyai daya ingatan baik serta kekuatan mental.

"Seorang ahli Parlimen perlu mempunyai pemikiran yang tajam untuk berbahas di Parlimen. Ini penting supaya tidak ditipu oleh orang lain.

"Pemimpin berkebolehan tinggi berupaya membantu negara ke arah lonjakan lebih baik dan setanding dengan negara maju lain.

"Kalau setakat baca teks di Parlimen, mana-mana orang pun boleh buat. Oleh itu, pengundi perlu melihat kepada tahap keilmuwan dan latar belakang pendidikan kerana perkara ini sangat penting.

"Dalam masa yang sama, pengundi perlu lihat tahap integriti dan sikap amanah pada calon yang mahu diundi. Itulah cerminan kita dalam memilih pengundi pada pilihan raya umum kali ini," katanya.