'Kami dah lali dengan banjir'

Limpahan air Sungai Lembing yang melimpahkan menyebabkan pekan Sungai Lembing saban tahun dinaiki banjir. (Gambar kecil: Elly, Rohaya, Azizah dan Sit Fong)
Limpahan air Sungai Lembing yang melimpahkan menyebabkan pekan Sungai Lembing saban tahun dinaiki banjir. (Gambar kecil: Elly, Rohaya, Azizah dan Sit Fong)
A
A
A

KUANTAN - Penduduk di perkampungan Sungai Lembing mengakui sudah lali dengan kejadian banjir yang melanda kawasan mereka disebabkan hampir setiap tahun berdepan bencana sebegini.

Bagi mereka, setiap kali hujan lebat melanda, sudah menjadi rutin mereka menyediakan bekalan makanan, mengemas harta benda, memastikan dokumen penting di tempat selamat dan seterusnya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Tindakan itu dilakukan oleh semua penduduk di perkampungan Sungai Lembing termasuk Rohaya Osman yang sudah menetap di situ hampir 60 tahun.

Dia yang merupakan seorang suri rumah mengakui membesar dalam suasana sedemikian dan menganggap ia adalah fenomena biasa penduduk kawasan itu.

Menurutnya, kedudukan geografi di pekan Sungai Lembing yang dikelilingi bukit menyebabkan kawasan itu mudah terdedah dengan banjir.

"Kita anggap banjir di sini seperti tradisi dan ia diibaratkan mainan kepada penduduk sejak sekian lama. Kita dan anak-anak kecil juga tidak takut, malahan mereka semua tahu menjaga diri setiap kali banjir kerana sudah biasa.

"Setiap kali hujan lebat dalam dua tiga hari, kita sudah mula mengemas dan meletakkan barang di tempat selamat seterusnya menunggu untuk berpindah.

"Jadi, kita tidak ada kerisauan atau trauma kerana sudah terbiasa dengan musibah sebegini dan boleh dikatakan kita semua tahu mengawal situasi," kata ibu kepada enam anak ketika ditemui Sinar Harian di pekan Sungai Lembing pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Bagi, Ngam Sit Fong, 50, pula berkata, hujan lebat setiap kali tiba Monsun Timur Laut membuatkannya sekeluarga sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan kerana sudah terbiasa dengan situasi terbabit.

Bagaimanapun katanya, banjir awal tahun lalu dianggap luar biasa berbanding sebelum ini kerana air bertahan lebih seminggu dan paras air juga mencecah lebih dua meter.

"Kami (penduduk) sudah alami beberapa kali siri banjir pada Disember tahun lalu, tapi paling teruk banjir pada Januari lalu apabila air naik mendadak dan arusnya deras serta mencecah bahu.

"Saya terpaksa mengharungi air sedalam itu sejauh 100 meter sebelum diselamatkan oleh pihak pengurusan kampung dan anggota keselamatan," katanya yang bekerja sebagai penjaja makanan.

Sementara itu, peniaga kedai runcit, Loguhim@Elly Gintes,51, memberitahu dua tangki air tambahan sudah dibeli bagi membolehkan barangan di kedai runcit miliknya tidak musnah.

Katanya, persediaan terbabit dilakukan bagi mengurangkan kerugian yang terpaksa ditanggung, jika berlakunya banjir besar seperti awal tahun lalu.

"Saya dah tak boleh kira berapa kali banjir di sini, boleh dikatakan setiap tahun air naik, tetapi awal Januari lalu, banjir luar jangka air naik sehingga cecah tiga meter.

"Barang niaga yang saya simpan di tempat tinggi semua musnah dan saya alami kerugian hampir RM15,000. Jadi, kali ini saya sudah ambil langkah dengan tidak membuat pesanan barangan ketika ini," ujar ibu kepada empat anak itu.

Pekan sungai Lembing saban tahun dinaiki air hampir dua meter.
Pekan sungai Lembing saban tahun dinaiki air hampir dua meter.

Menceritakan pengalaman itu, Elly memberitahu, bukan setakat kedai yang ditenggelami air, rumah miliknya yang terletak berhampiran lembaran Sungai Lembing juga tenggelami banjir.

Jelasnya, semua perkakasan elektrik dan barangan perabot, katil rosak akibat ditenggelami air banjir dalam tempoh yang lama.

"Walaupun saya dah terbiasa dengan situasi banjir, tapi kali ini persiapan lebih rapi dilakukan kerana bimbang banjir luar jangkaan berlaku lagi," kata yang berasal dari Sabah.

Azizah Ibrahim, 72, yang menetap 30 tahun di pekan Sungai Lembing sudah bersedia untuk berpindah ke PPS, jika siren amaran banjir dibunyikan.

"Persiapan sudah dibuat, jadi kita menunggu masa untuk berpindah sahaja. Lagi pun di sini selalu dilanda banjir dan bila air naik terputus hubungan, tapi bantuan itu tetap sampai tepat masanya," ujar ibu kepada sembilan anak itu.