Kucing peliharaan bunuh 300 juta haiwan di Australia setiap tahun

Secara purata 110 haiwan asli dibunuh oleh setiap kucing peliharaan yang merayau dan memburu kira-kira 40 reptilia, 38 burung dan 32 mamalia setiap tahun. - Gambar hiasan
Secara purata 110 haiwan asli dibunuh oleh setiap kucing peliharaan yang merayau dan memburu kira-kira 40 reptilia, 38 burung dan 32 mamalia setiap tahun. - Gambar hiasan
A
A
A

CANBERRA - Kucing peliharaan membunuh ratusan juta haiwan asli Australia setiap tahun, lapor Xinhua memetik penyelidikan Australia.

Menurut laporan baharu Majlis Biodiversiti, Majlis Spesies Invasif dan Birdlife Australia, kucing peliharaan membunuh 323 juta haiwan asli setiap tahun.

Angka itu merupakan peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding 241 juta pada 2020 selepas berlaku lonjakan pemilikan haiwan peliharaan semasa wabak koronavirus.

Kira-kira satu pertiga daripada isi rumah Australia mempunyai kucing peliharaan dan separuh daripada mereka mempunyai dua atau lebih.

Pengarang laporan itu menggesa warga Australia supaya mengambil tanggungjawab yang lebih besar terhadap haiwan peliharaan mereka memandangkan 71 peratus pemilik kucing masih membenarkan kucing mereka bebas berkeliaran.

"Kenaikan jumlah kematian haiwan liar mencerminkan gelombang peningkatan haiwan peliharaan semasa pandemik, menyaksikan bilangan kucing peliharaan mencecah 5.3 juta dan sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk melaksanakan undang-undang pemilikan haiwan kesayangan, termasuk peraturan perintah berkurung 24/7," menurut ahli ekologi dari Universiti Charles Darwin dan jurucakap Majlis Biodiversiti, Sarah Legge, dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengikut peraturan sedia ada, penduduk Australian Capital Territory (ACT) dikehendaki mengurung kucing mereka setiap masa manakala di Victoria kira-kira separuh daripada majlis tempatan melaksanakan tindakan yang serupa.

Bagaimanapun, di negeri lain, perundangan menghalang peraturan yang sama dilaksanakan.

Majlis Spesies Invasif mendakwa jika kucing peliharaan dikurung 24 jam di kawasan Sydney sahaja. 66 juta haiwan asli dapat diselamatkan setiap tahun.

Secara purata 110 haiwan asli dibunuh oleh setiap kucing peliharaan yang merayau dan memburu kira-kira 40 reptilia, 38 burung dan 32 mamalia setiap tahun.

"Kita tidak boleh mengubah tingkah laku kucing, tetapi kita boleh menyokong pilihan yang lebih baik oleh pemilik kucing, " kata Holly Parsons dari Birdlife Australia - Bernama