PRU15: Sukar dapat internet beri kesan keciciran teknologi

Marzuki ketika merasmikan WiFi Rakyat@Pejuang di Pinang Tunggal pada Khamis.
Marzuki ketika merasmikan WiFi Rakyat@Pejuang di Pinang Tunggal pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Capaian internet yang kurang memuaskan menyukarkan komunikasi digital termasuk memberi kesan terhadap pembelajaran anak-anak sekali gus berisiko keciciran.

Timbalan Presiden Pejuang merangkap Ketua Setiausaha Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Marzuki Yahya berkata, selain sukar mendapatkan maklumat dalam talian, pelajar mahupun murid juga sering ketinggalan jika diminta mencari bahan pembelajaran.

Beliau yang juga merupakan calon Pejuang Parlimen Sungai Petani berkata, antara kawasan yang didapati kurang mendapat capaian termasuk di Kota Kuala Muda dan Pinang Tunggal.

"Kami mendapat makluman bahawa anak-anak yang tinggal di sekitar Kota Kuala Muda sukar nak ikuti kelas online yang telah diwajibkan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu.

"Perkara sama juga berlaku di Pinang Tunggal, kerana jarak capaian internet hanya boleh didapati dengan beberapa kilometer sahaja dari pusat bandar,"katanya ketika merasmikan WiFi Rakyat@Pejuang di sini pada Khamis.

Disebabkan itu, katanya, pelajar terpaksa keluar dari rumah untuk mendapatkan isyarat jalur lebar bagi menyiapkan tugasan mahupun maklumat berkenaan kerja sekolah, nota dari guru serta mengikuti kelas online.

"Kita bimbang keciciran murid dalam pelajaran boleh berlaku dan membantutkan pembangunan modal insan," katanya.

Atas faktor berkenaan, Projek WiFi Rakyat telah mula digerakkan sejak bulan April lalu melalui inisiatif di mana satu pasukan IT telah dihantar bagi menjayakan projek tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pasukan berkenaan telah meninjau kawasan yang tidak mempunyai capaian jalur lebar untuk membina stesen pemancar bagi menampung keperluan sekitar kawasan Pinang Tunggal.

"Bagaimanapun, setelah dibuat kajian dan semakan dengan topografi muka bumi, kaedah ini dapat menampung keluasan capaian sehingga ke perumahan berhampiran.

"Pemasangan mengambil masa lebih kurang dua bulan dan kini pelajar serta penduduk berdekatan mampu menikmati capaian jalur lebar tanpa perlu keluar dari rumah.

"Ia sekali gus menjimatkan masa serta lebih selamat," katanya.