Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,410 orang

Infografik jumlah mangsa banjir di seluruh negara setakat jam 8 pagi Jumaat.
Infografik jumlah mangsa banjir di seluruh negara setakat jam 8 pagi Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 4,410 orang setakat jam 8 pagi Jumaat berbanding 4,221 orang pada malam Khamis.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan berkata, jumlah itu meningkat kerana Negeri Sembilan menjadi negeri terbaharu terjejas menjadikan keseluruhannya sebanyak lapan negeri dilanda banjir ketika ini.

Negeri lain yang turut terjejas adalah Selangor, Kelantan, Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak.

Katanya, seramai 1,329 keluarga direkodkan berpindah di 59 pusat pemindahan sementara (PPS) di 23 daerah seluruh Malaysia.

"Daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir itu, Selangor mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,625 orang daripada 401 keluarga yang berlindung di 21 PPS di tujuh daerah.

"Ia diikuti Kelantan yang menempatkan 1,053 mangsa banjir daripada 364 keluarga di enam PPS yang dibuka di satu daerah," katanya.

Mangsa yang terjejas di Perak membabitkan seramai 856 orang daripada 235 keluarga, Pahang (391 mangsa daripada 117 keluarga) dan Sarawak (123 mangsa daripada 39 keluarga).

Infografik 19 jalan yang terjejas akibat bencana yang dikeluarkan JKR.
Infografik 19 jalan yang terjejas akibat bencana yang dikeluarkan JKR.

Artikel Berkaitan:

Di Melaka pula seramai 44 mangsa daripada 10 keluarga dicatatkan, manakala di Negeri Sembilan (29 mangsa daripada satu keluarga).

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) melaporkan, 19 jalan persekutuan dan jalan negeri turut terjejas dengan kejadian banjir berkenaan.

Ia merangkumi 10 jalan persekutuan dan sembilan jalan negeri membabitkan masing-masing dua daerah di Selangor, Kelantan, Kedah dan Johor serta masing-masing satu daerah di Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang.

Daripada jumlah itu, lapan jalan ditenggelami air, tujuh kes jalan mengalami cerun runtuh serta masing-masing dua kes jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh.