Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat

Pasukan tentera turut membantu membawa mangsa terjejas ke PPS berhampiran selepas rumah penduduk di Batu 10, Jalan Bidor, Teluk Intan dinaiki air. Foto: ihsan APM
Pasukan tentera turut membantu membawa mangsa terjejas ke PPS berhampiran selepas rumah penduduk di Batu 10, Jalan Bidor, Teluk Intan dinaiki air. Foto: ihsan APM
A
A
A

IPOH - Mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 856 orang daripada 235 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) pada Jumaat.

Berbanding hanya seramai 615 orang mangsa banjir daripada 108 keluarga yang dilaporkan setakat jam 10 malam pada Khamis.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan pertambahan mangsa banjir itu membabitkan daerah Hulu Perak, Kinta, Perak Tengah, Hilir Perak, Manjung, Larut Matang dan Selama (LMS) serta Kerian.

"Enam PPS baharu telah dibuka pada Khamis, apabila seramai 12 orang dipindahkan di PPS Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Piandang di Kinta, DOR Kampung Sungai Baru, Trong (LMS) melibatkan 18 mangsa dan Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu di Kerian mencatatkan 20 orang.

Pasukan bomba membawa keluar mangsa banjir di Jalan Bidor, Teluk Intan. Foto Ihsan Bomba Perak
Pasukan bomba membawa keluar mangsa banjir di Jalan Bidor, Teluk Intan. Foto Ihsan Bomba Perak

"Selain itu, SK Titi Gantong menempatkan 37 orang dan SK Layang-Layang Kiri di Perak Tengah pula mencatatkan 97 mangsa, Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak di Hilir Perak turut dibuka bagi menempatkan 70 mangsa," katanya.

Dalam pada itu, paras air Sungai Perak membabitkan lembangan Sungai Plus di Kampung Lintang, Kuala Kangsar dilaporkan berada pada paras berjaga-jaga apabila mencatatkan 54.11 meter berbanding paras normal, 52 meter.

Sungai Bernam membabitkan lembangan Sungai Slim di Slim River turut berada pada paras berjaga-jaga dengan 24.96 meter berbanding hanya 23.5 meter.

Artikel Berkaitan: