Korban puting beliung, ribut di AS meningkat kepada 29 orang

Puting beliung memusnahkan harta benda di Little Rock, Arkansas. - Foto Xinhua
Puting beliung memusnahkan harta benda di Little Rock, Arkansas. - Foto Xinhua
A
A
A

HOUSTON - Angka kematian meningkat kepada 29 selepas puting beliung dan ribut membadai beberapa negeri Amerika Syarikat (AS) sejak Jumaat, kata pihak berkuasa pada Ahad.

Di Tennessee, sekurang-kurangnya 12 orang maut, termasuk sembilan di McNairy County yang turut menyaksikan lebih 70 bangunan musnah, kata pegawai tempatan.

Dua kanak-kanak dan seorang dewasa maut di Memphis dalam kejadian pokok tumbang manakala lima kematian dilaporkan masing-masing di Indiana dan Arkansas, lapor Xinhua.

Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh di Illinois termasuk seorang lelaki berusia 50 tahun yang maut di tempat kejadian apabila bumbung Teater Apollo di Belvidere runtuh pada Jumaat.

Kematian turut dilaporkan di Alabama, Mississippi dan Delaware.

Hampir 400,000 rumah dan perniagaan turut mengalami gangguan bekalan elektrik pada Ahad.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran bahawa ribut petir lebih kuat mungkin berlaku pada Selasa hingga pagi Rabu. - Bernama-Xinhua