Hanya hukuman berat sahaja jawapannya

Keadaan banjir di sebuah taman perumahan di sekitar Klang. Foto Bernama.
Keadaan banjir di sebuah taman perumahan di sekitar Klang. Foto Bernama.
A
A
A

AWAL pagi Khamis, penduduk di beberapa kawasan di Selangor cemas seketika dek kerana hujan lebat mengakibatkan banjir kilat. Mereka bimbang episod banjir buruk hujung tahun lalu berulang kembali.

Dapat dibayangkan kegusaran penduduk terutama di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam dan Hulu Langat apabila hujan berterusan melanda kawasan berkenaan.

Dahulu, jika hujan lebat pada malam hari, ia dianggap keadaan yang ‘menyamankan’ kerana ‘syok’ tidur dalam cuaca dingin tetapi kini hujan lebat membuatkan kita tidak lena tidur disebabkan bimbang air naik.

Dahulu, kita hanya berdepan kesesakan jalan raya ketika pergi atau pulang bekerja tetapi kini kena berdepan pula laluan yang ditutup akibat banjir. Setiap kali hujan lebat, mulalah berfikir jalan mana boleh dilalui, laluan mana perlu dielak kerana takut terperangkap dalam banjir.

Dahulu, tidak pernah terfikir pun rumah akan dimasuki air kerana kawasan diduduki bukanlah lokasi banjir tetapi kini tiada lagi ‘rasa selamat’. Banjir boleh berlaku di mana-mana.

Paling teruk, hujan walaupun sekejap sudah boleh menyebabkan banjir kilat. Air yang naik pula bukan ‘biasa-biasa’ kerana ia mampu membuatkan kita terduduk memikirkan kos perlu ditanggung akibat kerosakan harta benda.

Banyak lagi situasi panik dicetuskan oleh hujan dan banjir tetapi apakah yang menyebabkan hujan yang biasanya dianggap satu rahmat berubah kepada perkara ditakuti?

Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara bakal mengalami hujan berterusan mulai pertengahan November ini susulan Monsun Timur Laut yang boleh menyebabkan risiko banjir berskala besar.

Artikel Berkaitan:

Benar, faktor alam semula jadi adalah punca berlaku banjir dan ia tidak boleh dielak tetapi sikap kita terhadap alam sekitar mampu mengelak bencana lebih besar berlaku.

Tabiat masyarakat suka membuang sampah merata-rata, seterusnya memasuki longkang dan sungai turut menjadi faktor banjir kilat meningkat.

BANJIR KILAT

Difahamkan, sebanyak 75,402 tan metrik sisa pepejal dikeluarkan dari Sungai Klang antara 2016 hingga September tahun lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Izham Hashim, kuantiti sampah yang banyak menjadi salah satu punca proses melebar serta mendalamkan Sungai Klang lambat untuk disiapkan.

Bukan sedikit laporan media mengenai isu sampah yang menjadi punca banjir kilat di negara ini, namun ia seolah-olah dianggap perkara remeh bagi sesetengah orang yang berterusan membuang sampah di tempat tidak sepatutnya.

Walaupun agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan ada melakukan kerja pembersihan, namun sikap degil penduduk menyebabkan masalah itu bagaikan tiada penyudah.

Malah, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sendiri turut meluahkan kekecewaan terhadap sikap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah merata-rata hingga menjadi faktor banjir.

“Di kolam Takungan Banjir (KTB) Batu sahaja, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) terpaksa menyelenggara dan membersihkan 60 tan sampah sebulan dengan kos RM600,000 setahun. Itu untuk satu kolam takungan, bayangkan banyak mana terpaksa dibelanjakan. Sudah tentu jutaan ringgit,” katanya.

Justeru, beliau meminta kerjasama semua pihak agar sedar isu sampah masih serius di Malaysia dan perlu dipantau bersama. Kerajaan juga katanya, akan mengambil tindakan segera ke atas mana-mana pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata sehingga menyebabkan berlaku banjir kilat.

Persoalannya, bagaimana tindakan penguatkuasaan itu dapat dilakukan secara berkesan kerana undang-undang sedia ada tidak cukup ‘menggerunkan’ rakyat.

Ketika ini, tindakan penguat-kuasaan larangan pembuangan sampah dibuat mengikut peruntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di bawah Seksyen 71(1) Akta 672.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda minimum RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara minimum enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pengguna jalan raya yang didapati membuang sampah dari kenderaan pula boleh didenda hingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan.

Penulis percaya, jika hukuman dan penguatkuasaan kepada si ‘pengotor’ dapat ditingkatkan seperti penguatkuasaan terhadap peraturan larangan merokok di tempat awam, pasti ramai takut untuk membuang sampah merata-rata kerana bimbang perbuatan mereka diperhatikan.

* Siti Hazira Hamdan ialah Editor Pengisian Sinar Harian.