PRU15: Mahkamah dengar permohonan kebenaran merayu 5 Januari

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Khamis menetapkan 5 Januari tahun depan untuk mendengar dua permohonan bagi memperoleh kebenaran merayu untuk mencabar pembubaran Parlimen yang memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Anthony R Santiago dan pengundi kawasan Parlimen Pandan, Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar yang masing-masing memfailkan permohonan itu selepas gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada Rabu.

Ketika dihubungi, peguam A Surendra Ananth yang mewakili Santiago dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan, mengesahkan tarikh itu.

Santiago dan Syed Iskandar memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi untuk mencabar nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen, yang memberi laluan kepada SPR mengadakan PRU15.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membatalkan saman mereka pada 28 Oktober dan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan mereka semalam, menyebabkan mereka memfailkan permohonan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Santiago yang mahu mahkamah mengembalikan semula saman pemula beliau terhadap Ismail Sabri, kerajaan Malaysia dan SPR, memohon beberapa perintah termasuk deklarasi bahawa permintaan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah terbatal dan tidak sah kerana tidak dilakukan atas nasihat kabinet.

Syed Iskandar pula memohon mahkamah memberi kebenaran kepada beliau untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pembubaran Parlimen dan langkah mengadakan pilihan raya umum. - Bernama

Artikel Berkaitan: