Rafizi sedia ke mahkamah isu perolehan meriam SPH

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk ke mahkamah berhubung tuntutan yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menerusi surat tuntutan (LOD) pada Rabu.

Rafizi mengakui turut mengalu-alukan dan menerima secara terbuka sekiranya Ikmal Hisham ingin memfailkan saman terhadapnya.

Beliau berkata, setiap pendedahan yang dikemukakan telah disemak faktanya terlebih dahulu sebelum didedahkan kepada umum agar ia tidak menyalahi undang-undang.

“Saya agak selesa untuk ke mahkamah kerana kebiasaannya saya sudah semak dahulu untuk pastikan ia berada dalam peruntukan undang-undang.

“Jadi, surat saman beliau saya alu-alukan, kita akan teruskan di mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program terbaharu Sinar Harian, Last Lap bertajuk Tiada Majoriti: Bersediakah Kongsi Kuasa, yang dihoskan Kamarul Bahrin Haron.

Ikmal Hisham dalam satu kenyataan pada Khamis, menuntut Rafizi membayar kos ganti rugi am dan teladan sebanyak RM500,000 susulan kenyataan fitnah berhubung isu perolehan meriam artileri jenis SPH yang dilemparkan terhadapnya dan keluarga.

Ikmal Hisham berkata, Rafizi turut digesa untuk memadamkan kenyataan fitnah dan berhenti daripada menyebarkan serta mengulangi pernyataan fitnah terhadap beliau dan isteri.

Menurutnya, calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pandan itu juga diminta memaparkan permohonan maaf secara terbuka dan membersihkan kembali nama beliau serta isteri yang telah tercalar.

“Sekiranya tuntutan-tuntutan ini gagal ditunaikan dalam tempoh tujuh hari, pihak saya akan meneruskan kes ini dengan tindakan sivil di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan yang saya ambil ini adalah untuk memelihara nama baik dan sebagai tanggungjawab menjaga keselamatan keluarga.

“Berpegang kepada prinsip ‘berani kerana benar, takut kerana salah’ saya bersedia ke mahkamah untuk membersihkan nama saya daripada fitnah tidak bertanggungjawab dibuat oleh Rafizi. “Janganlah sekali-kali melibatkan anak isteri sesiapa pun dalam berpolitik semata-mata ingin meraih undi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.