Ikmal Hisham tuntut Rafizi bayar ganti rugi RM500,000

Ikmal Hisham (kiri) buat tuntutan terhadap Rafizi untuk bayar kos ganti rugi am dan teladan sebanyak RM500,000.
Ikmal Hisham (kiri) buat tuntutan terhadap Rafizi untuk bayar kos ganti rugi am dan teladan sebanyak RM500,000.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dituntut untuk membayar kos ganti rugi am dan teladan sebanyak RM500,000 susulan kenyataan fitnah berhubung isu perolehan meriam artileri jenis Self-Propelled Howitzer (SPH) yang dilemparkan terhadap Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz sekeluarga.

Ikmal Hisham berkata, Rafizi turut digesa untuk memadamkan kenyataan fitnah dan berhenti daripada menyebarkan serta mengulangi pernyataan fitnah terhadap beliau dan isteri.

Menurutnya, calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pandan itu juga diminta memaparkan permohonan maaf secara terbuka dan membersihkan kembali nama beliau serta isteri yang telah tercalar.

“Sekiranya tuntutan-tuntutan ini gagal ditunaikan dalam tempoh tujuh hari, pihak saya akan meneruskan kes ini dengan tindakan sivil di mahkamah.

“Tindakan yang saya ambil ini adalah untuk memelihara nama baik dan sebagai tanggungjawab menjaga keselamatan keluarga.

“Berpegang kepada prinsip ‘berani kerana benar, takut kerana salah’ saya bersedia ke mahkamah untuk membersihkan nama saya daripada fitnah tidak bertanggungjawab dibuat oleh Rafizi.

“Janganlah sekali-kali melibatkan anak isteri sesiapa pun dalam berpolitik semata-mata ingin meraih undi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Rafizi sebelum ini berterusan membuat pendedahan berhubung penglibatan Ikmal Hisham dalam kontrak perolehan meriam artileri jenis SPH, bagaimanapun laporan polis telah dibuat berkenaan dakwaan ini pada 7 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Rafizi bertindak sedemikian berikutan mulai takut dengan gelombang sokongan yang diterima Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Menyedari dan merasai gelombang sokongan kepada PN semakin meningkat, Rafizi Ramli telah ‘ketar lutut’ dan berusaha untuk memburukkan pasukan lawan.

“Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membawa rakyat berhalusinasi. Beliau membuat andaian bahawa orang lain tidak bersih dan hanya beliau yang suci murni,” jelas Ikmal Hisham.

Beliau sebelum ini telah berkali-kali menekankan bahawa semua perolehan aset di Kementerian Pertahanan perlu melalui proses kerja yang ketat.

“Ia juga mesti dipersetujui terlebih dahulu oleh end-user iaitu pihak Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia,” tambahnya.