Nelayan miliki dadah dipenjara 12 tahun, 10 sebatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan memiliki 1.3 kilogram kokain.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Ismetch Mohamad Rosli Rosli, 30, menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu 4 November 2016.

Tertuduh telah menerima tawaran pendakwaan yang mengurangkan pertuduhan terhadapnya daripada mengedar kepada memiliki dadah itu.

Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana mengedar dadah di kawasan pemeriksaan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 6.45 petang, 4 November 2016 dan dijatuhi hukuman mati.

Terdahulu, peguam Gurubachan Singh Johal merayu agar mahkamah mengenakan hukuman penjara lapan tahun kerana anak guamnya sudah meringkuk di dalam penjara selama enam tahun dan ingin meneruskan hidupnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa berkata, demi kepentingan awam, berdasarkan jumlah dadah, hukuman penjara yang wajar dijatuhkan ke atas tertuduh ialah antara 12 hingga 16 tahun.

Beliau berkata, mesej yang jelas perlu diberikan bagi mencegah individu lain melakukan kesalahan sama dan dadah dimiliki tertuduh adalah daripada jenis yang paling mahal.

Panel sama turut mengekalkan hukuman mati ke atas seorang warga Myanmar iaitu Htwee Nu Maung kerana membunuh rakannya, Thu Ni, di kuarters pekerja Syarikat Shin Poly Auto Sdn Bhd, Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor antara jam 11.30 malam 18 Jun 2016 dan jam 1.10 pagi 19 Jun 2016.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi individu yang masih bebas.

Hashim yang menyampaikan keputusan panel itu berkata, keterangan mengikut keadaan menunjukkan penglibatan tertuduh dalam insiden kematian mangsa.

Tertuduh, 42, yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 10 September 2019, diwakili peguam K Viknesvaran, manakala Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah dan Nurul Farhana Khalid hadir bagi pihak pendakwaan. - Bernama