Ada 12 kecederaan pada Baby Syifaa: Pakar forensik

Gaithri dan Hafiz bercakap sesuatu kepada Guseri(tiga dsri kanan) sebaik prosing
Gaithri dan Hafiz bercakap sesuatu kepada Guseri(tiga dsri kanan) sebaik prosing
A
A
A

SEREMBAN - Pakar Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini yang merupakan saksi ke 18 prosiding inkues bagi mengesan punca kematian 'Baby Syifaa' atau Nour Rania Asyifaa Yuseri tetap dengan pendirian bahawa kematian mangsa disebabkan tekanan pada leher.

Pada prosiding hari ketiga di Mahkamah Koroner Seremban pada Khamis, Dr Hanif Mahmud berkata, terdapat 12 kecederaan pada mangsa dalam pemeriksaan luar dilakukan antaranya luka melecet di leher, pergelangan kaki kiri, ibu jari kanan serta kuku jari kaki kelima separa tertanggal.

"Terdapat kesan luka melecet di leher mangsa yang berukuran 11 sentimeter(cm) panjang dan 0.5cm lebar di bahagian tengah leher sehingga bahagian sisi leher kiri dan kanan.

"Terdapat juga kesan lebam pada kaki kiri mangsa berukuran 1x0.5 cm selain luka melecet di bahagian jari kaki kiri," katanya.

Selain itu beliau memberitahu, pemeriksaan dalaman di bahagian kepala tidak menunjukkan kecederaan dan pendarahan dalaman.

Ujarnya, pemeriksaan dalaman dada juga tidak menunjukkan sebarang kecederaan pada tulang - tulang rusuk, organ paru - paru dan organ jantung.

"Tiada juga kecacatan dan keretakan dilihat pada kedua belah tangan dan kaki.

"Pemeriksaan luaran mendapati jari - jari tangan yang kebiruan, pendarahan bintik - bintik kecil di muka dan di kelopak mata bawah yang boleh dikaitkan dengan tanda - tanda asfiksia atau ' asphyxia '," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memberitahu, pemeriksaan bedah siasat tidak menunjukkan kecederaan pada bahagian dalaman badan dan pada organ - organ dalaman lain.

Orang ramai yang hadir bagi mendengar prosing kes Baby Syifaa
Orang ramai yang hadir bagi mendengar prosing kes Baby Syifaa

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad bagaimana tekanan pada leher boleh membawa kepada kematian mangsa, Hanif berkata, tekanan di leher boleh menyebabkan berlaku halangan kepada saluran pernafasan sehingga mangsa mengalami kesukaran bernafas.

"Merujuk hasil bedah siasat terdapat kesan luka melecet pada leher yang menunjukkan badan mangsa tidak mendapat oksigen yang cukup dan tekanan pada leher menyebabkan kematian," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili keluarga 'Baby Syifaa' Gaithri Thomas dan Hafiz Norkhan bertanya kepada Hanif adakah dia setuju jika kesan jaringan kain buaian sepatutnya ada pada leher mangsa.

Hanif berkata, sekiranya bayi itu bergerak kesan terbabit sukar diperoleh dan perlu mengambil kira kedudukan mangsa yang berketinggian 73 cm dan seberat 7.65 kilogram.

Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Hafiz bahawa dalam situasi 'Baby Syifaa' mangsa 'struggle' sebelum kematiannya.

Pada prosiding berkenaan Hafiz turut menunjukkan demonstrasi kemungkinan bagaimana kejadian menimpa Baby Syifaa selain turut dimainkan semula video simulasi yang dilakonkan pengasuh bagaimana kejadian itu berlaku.

Dalam pada itu pada prosiding yang bersambung sebelah petang itu, pihak pendakwaan meminta mahkamah memberi teguran kepada bapa mangsa kerana telah memaki saksi iaitu doktor dan pegawai penyiasat apabila mengeluarkan perkataan bodoh dan kurang sopan yang boleh mengganggu emosi kesemua saksi.

Koroner menyifatkan perkara itu serius dan meminta peguam menasihatkan anak guamnya.

Mahkamah turut menetapkan prosiding inkues bersambung pada 8, 21 dan 22 Mac 2023 untuk mendengar keterangan lapan lagi saksi.

Sebelum ini, media melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari lalu.

Pada 30 Mac lalu, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.