PRU15: UMP sedia 20 bas bantu pelajar pulang mengundi

Sebahagian pelajar UMP beratur menaiki bas yang disediakan untuk pulang mengundi. (Gambar kecil: Dr Mohd Rusllim)
Sebahagian pelajar UMP beratur menaiki bas yang disediakan untuk pulang mengundi. (Gambar kecil: Dr Mohd Rusllim)
A
A
A

KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyediakan 20 buah bas bagi membolehkan hampir 1,500 pelajarnya pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Kemudahan itu disediakan di bawah penyelarasan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dengan kerjasama Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) serta Sekretariat Anak Negeri.

Lapan Sekretariat Anak Negeri terlibat dalam inisiatif itu termasuk Sektetariat Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang (Semampan), Sekretariat Ikatan Siswa Anak Darul Ta’zim (Iskandar), Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata), Sekretariat Mahasiswa Perak (Silver), Sekretariat Siswa Aman Makmur (Ansar), Sekretariat Himpunan Siswazah Anak-anak Kelantan (Sehimsak), Sekretariat Mahasiswa Negeri Sembilan (Semanes) dan Persatuan Mahasiswa Selangor (Permas).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Mohd Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) berkata, selain kemudahan disediakan pihak universiti, ada juga pelajar yang mengambil inisiatif menyewa bas persendirian untuk pulang ke kampung secara berkumpulan.

Menurutnya, pelajar UMP diberi pelepasan kuliah dan aktiviti akademik untuk pulang mengundi bermula 17 hingga 21 November ini lanjutan daripada pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi ( KPT) baru-baru ini.

“Fasa pertama, hampir 1,500 pelajar bergerak pulang bermula jam 9.30 malam tadi (Rabu) melibatkan enam bas menuju ke destinasi Ipoh, Taiping, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Terengganu manakala 14 bas lagi akan bergerak hari ini (Khamis),” katanya.

Mohd Rusllim berkata, berdasarkan data, seramai 1.14 juta golongan pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun akan mengundi pada PRU15 kali ini termasuk pelajar universiti.

“Golongan berusia 18 tahun dan ke atas boleh dianggap matang, mereka sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Interim, Ahmad Fahmi Fazli berterima kasih dan menghargai inisiatif pengurusan UMP sekali gus dilihat mampu membantu pelajar menimba pengalaman dalam mengurus serta menyusun atur pergerakan dan meringankan beban mereka.

“Inisiatif ini selari dengan seruan MPP sesi ini iaitu #KebersamaanMahasiswa sebagai satu seruan menggalakkan 'pelajar bersama pelajar' demi memperjuangkan kebajikan mereka sendiri,” jelasnya.

Ahmad Fahmi turut menasihatkan pelajar untuk menggunakan peluang dan tanggungjawab mereka sebaiknya ke arah membina masa depan negara yang lebih baik.

"Pelajar kini cukup matang dan tahu apa yang mereka inginkan untuk negara ini," ujarnya.