KDN rampas 1,783 bahan cetak tidak ditapis ada ayat al-Quran

Ahmad Hilmi menunjukkan antara bahan-bahan cetak yang dirampas pihaknya. Antara bahan cetak yang mengandungi teks daripada al-Quran yang dirampas kerana tidak melalui proses tapisan
Ahmad Hilmi menunjukkan antara bahan-bahan cetak yang dirampas pihaknya. Antara bahan cetak yang mengandungi teks daripada al-Quran yang dirampas kerana tidak melalui proses tapisan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 348 naskah al-Quran dan 1,435 bahan cetak mengandungi sebahagian ayat dari kitab suci berkenaan dirampas menerusi Ops Naskah di Selangor bermula 1 Oktober hingga Rabu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan (PKK) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ahmad Hilmi Said berkata, kesemua bahan cetak berkenaan dirampas kerana tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan al-Quran.

"Al-quran ini perlu melalui proses kelulusan di mana pihak penerbit perlu kemukakan pruf akhir kepada lembaga pengawalan yang terdiri daripada barisan mufti dan seorang pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Al-quran yang kita rampas ini tidak melalui proses tapisan malah menggunakan tulisan rumi yang tidak dibenarkan dan telah difatwakan haram di Malaysia oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan KDN Selangor pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahmad Hilmi berkata, selain al-Quran dan bahan-bahan berkaitan kitab suci itu, pihaknya turut merampas sejumlah 2,040 bahan terbitan yang tidak mendapat kebenaran termasuk buku, cakera video digital dan bahan penerbitan tidak bermoral.

Menurutnya, selain di kedai-kedai, tindakan penguatkuasaan turut dijalankan di pintu masuk utama negara antaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pelabuhan Klang, dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

"Kebanyakan bahan al-Quran yang ada sebutan rumi ini keluaran dari Indonesia dan permintaannya sangat tinggi. Kita risau makna ayat itu boleh terpesong jika dibaca dalam rumi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kebanyakan naskah al-quran berkenaan dijual secara dalam talian dan di premis-premis fizikal dengan harga bermula RM40 sehingga RM100 dan ke atas.

"Tujuan utama Ops Naskah adalah untuk membanteras isu al-Quran tidak mendapat kelulusan dan usaha mengesan bahan penulisan yang telah dikenakan larangan.

"Hukuman penjara, denda atau kedua-duanya boleh dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984 serta Kata Pencetakan Teks Al-quran 1986," jelas beliau.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pihaknya akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan kemuliaan bahan teks al-Quran sentiasa terpelihara.