PRU15: Wan Azliana tekad sejahterakan Parlimen Batu

Wan Azliana (duduk, dua dari kiri) bertanya khabar dan mengenal pasti permasalahan masyarakat di Parlimen Batu.
Wan Azliana (duduk, dua dari kiri) bertanya khabar dan mengenal pasti permasalahan masyarakat di Parlimen Batu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kesejahteraan dan kebajikan rakyat Parlimen Batu menjadi keutamaan calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding di kawasan tersebut.

Calon GTA Parlimen Batu, Wan Azliana Wan Adnan berkata, agenda utama yang akan diangkat apabila GTA memenangi kawasan tersebut adalah menyelesaikan masalah tertangguh yang telah dikenal pasti untuk warga Batu melibatkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) berkata, kesemua permasalahan penduduk di Parlimen Batu yang berkait dengan DBKL akan diperincikan sepenuhnya dan diselesaikan bagi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, perkara tersebut bukan satu janji kosong apabila pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Datuk Bandar DBKL pada 14 November bagi mengadakan pertemuan bagi membincang masalah penduduk di kawasan Parlimen tersebut.

"Saya telah menulis surat kepada Datuk Bandar bagi diadakan pertemuan selepas mengenal pasti masalah warga Batu yang memerlukan maklum balas daripada pihak DBKL.

"Antara masalah yang dikenal pasti adalah melibatkan hak milik strata, sijil layak menduduki (CF), rumah untuk anak muda, kemudahan parkir, fasiliti sukan dan rekreasi, isu penyelenggaraan lif serta tangga dan kemudahan buat golongan orang kurang upaya (OKU)," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Wan Azliana berkata, isu lain yang akan diangkat oleh GTA sekiranya berjaya memenangi kerusi Parlimen Batu adalah meningkatkan kemudahan infra telekomunikasi dan kemudahan jalan raya yang selamat untuk pelajar.

Wan Azliana (duduk, dua dari kiri) bertanya khabar dan mengenal pasti permasalahan masyarakat di Parlimen Batu.
Wan Azliana (duduk, dua dari kiri) bertanya khabar dan mengenal pasti permasalahan masyarakat di Parlimen Batu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu menurutnya, isu jalan raya yang sesak di Parlimen Batu juga akan cuba diatasi bagi memastikan perjalanan lebih selesa buat rakyat.

Katanya, agenda seterusnya yang akan diberi perhatian adalah meningkatkan tahap keselamatan melibatkan sekolah dan kawasan persekitaran perumahan.

Tambahnya, bagi memastikan tahap keselamatan lebih terjamin, pihaknya akan berusaha memastikan kemudahan pemantauan menerusi pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap kawasan perumahan bukan berpusat.

Selain itu katanya, GTA juga telah kenal pasti keutamaan masa depan Warga Batu iaitu isu kerjaya, pendidikan, Bandar Pintar, Bandar Budaya, Bandar Sihat dan Selamat untuk warga Batu.

"Saya juga akan berusaha menambah baik Skim Perumahan Sewa Beli yang mencukupi untuk warga Batu yang dikendalikan oleh DBKL, Baitulmal dan pihak swasta.

"Semua itu telah dimasukkan di dalam manifesto Wan Azliana iaitu 'Sejahtera Makmur Rakyat' dan telah diterjemahkan menerusi lagu Semarak Batu," ujar beliau.