Charles Santiago, pengundi fail permohonan kebenaran merayu

Charles Santiago
Charles Santiago
A
A
A

PUTRAJAYA - Penyandang kerusi Parlimen Klang dan seorang pengundi di kawasan Pandan telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan selepas rayuan mereka bagi mencabar nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen ditolak semalam.

Pembubaran Parlimen itu adalah untuk memberi laluan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Charles Anthony R. Santiago memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan berhubung perkara itu di Mahkamah Persekutuan, pada Rabu manakala Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar memfailkan permohonannya pada Selasa.

Perkara itu disahkan oleh peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili Santiago, dan Yasmeen Soh Sha-Nisse, antara peguam yang mewakili Syed Iskandar.

Santiago meminta Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan untuk membubarkan Parlimen hanya terpakai apabila baginda dinasihat mengikut peruntukan di bawah Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, jika mahkamah memberikan kebenaran, rayuan berhubung perkara itu hendaklah didengar pada atau sebelum 18 Nov ini.

Syed Iskandar pula membangkitkan persoalan undang-undang iaitu sama ada kesan Perkara 40 (2) (b) dibaca bersama Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan menjadikan permintaan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebagai tindakan yang tidak boleh diadili berdasarkan keputusan dua kes iaitu Teh Cheng Poh lwn Pendakwa Raya (1979) dan R (Miller) lwn Perdana Menteri (2020).

Santiago, yang mahu mahkamah mengembalikan semula saman pemula beliau terhadap Perdana Menteri sementara iaitu Datuk Seri Ismail Sabri, kerajaan Malaysia dan SPR, memohon beberapa perintah termasuk deklarasi bahawa permintaan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah terbatal dan tidak sah kerana tidak dilakukan atas nasihat Kabinet.

Artikel Berkaitan:

Syed Iskandar pula memohon mahkamah memberi kebenaran kepada beliau untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pembubaran Parlimen dan langkah mengadakan pilihan raya umum.

Saman pemula Santiago dibatalkan pada 28 Okt selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan.

Mahkamah Tinggi yang sama turut menolak permohonan Syed Iskandar untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman. - Bernama