PRU15: Pengundi muda perlu pilih pemimpin bersih

Dari kiri: Zawawi, Ahmad Martadha dan Azhar menunjukkan jari mereka yang dicelup dengan dakwat sebagai simbolik perasmian Program Kempen Satu Jari Tanpa Rasuah di UUM pada Selasa.
Dari kiri: Zawawi, Ahmad Martadha dan Azhar menunjukkan jari mereka yang dicelup dengan dakwat sebagai simbolik perasmian Program Kempen Satu Jari Tanpa Rasuah di UUM pada Selasa.
A
A
A

SINTOK - Pengundi muda perlu membuat pilihan tepat dengan memilih pemimpin yang bebas rasuah pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) untuk mentadbir negara pada lima tahun akan datang.

Pengerusi Rasuah Busters Kedah, Dr Azhar Kassim berkata, generasi muda berumur 18 tahun dan ke atas perlu melihat perkara ini sebagai tanggungjawab yang penting kerana pilihan dibuat pada 19 November ini bakal mencorakkan kepimpinan dan hala tuju negara selepas ini.

Mereka mesti memberi sokongan dengan turun untuk mengundi dalam PRU15 dan perlu memilih pemimpin yang tidak mempunyai unsur rasuah dalam diri pemimpin itu tidak mengira mana-mana parti politik.

"Isu rasuah ini jika tidak ditangani, masalah ekonomi dan sosial negara akan lebih parah. Pengundi muda perlu memainkan peranan yang betul dan membuat keputusan dalam memilih pemimpin yang betul," katanya pada Sinar Harian selepas Program Kempen Satu Jari Tanpa Rasuah di Universiti Utara Malaysia (UUM), dekat sini pada Selasa.

Seramai 350 pelajar UUM mengikuti kempen tersebut dan menerima penerangan daripada Pengarah Keselamatan Negeri Kedah, Zawawi Zakaria berhubung keselamatan negara dan juga PRU15.

Pelajar-pelajar tersebut terdiri daripada ahli kelab Patriot Negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak.

Program Kempen Satu Jari Tanpa Rasuah tersebut dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Menurut Azhar, kempen tersebut bertujuan menyuntik semangat kepada mereka untuk keluar mengundi menunaikan hak masing-masing dalam memilih pemimpin yang layak untuk memimpin negara.

Artikel Berkaitan:

"Rasuah Busters Kedah adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang disertai oleh semua pihak bukan sahaja daripada pensyarah UUM bagi menggembleng tenaga memberikan kesedaran mendidik pengundi muda yang pertama kali mengundi.

"Kempen ini juga untuk membantu mereka mengenalpasti kelompok mana yang boleh memerintah negara kerana sekiranya pemilihan itu tidak tepat, saya risau pilihan yang tidak bagus akan memberikan kesan kepada negara untuk lima tahun dan mungkin 10 tahun akan datang," kata beliau lagi.

Sementara itu, Zawawi semasa ditemui berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah menggunakan pentas sama untuk menjelaskan serba-sedikit dasar keselamatan negara kepada pelajar universiti yang bakal memimpin negara pada masa hadapan.

Menurutnya, maklumbalas diberikan sangat positif dan rata-rata pelajar menyatakan rasa semangat tinggi untuk keluar mengundi buat kali pertama.

"Kami mengalu-alukan kerjasama ini untuk terus mengadakan kempen yang sama di institut pengajian tinggi (IPT) lain dan kempen ini perlu diteruskan secara berterusan bagi menyampaikan maklumat untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya rasuah," ujar Zawawi.